Pemimpin BN tak terkejut Zahid kembali pimpin Umno

Pemimpin BN tak terkejut Zahid kembali pimpin Umno

Presiden MIC, M Vigneswaran berkata ia susulan kerjasama politik Umno-PAS dan Timbalan Presiden, Mohamad Hasan yang sentiasa memberitahu beliau hanya menjalankan tugas presiden Umno.

M Vigneswaran berkata, walaupun berdepan puluhan tuduhan, Ahmad Zahid Hamid belum disabitkan bersalah.
PETALING JAYA:
Pemimpin Barisan Nasional tidak terkejut dengan tindakan Ahmad Zahid Hamidi kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno selepas cuti 6 bulan yang disifatkannya untuk mengekalkan partinya terus bersatu.

Presiden MIC, M Vigneswaran berkata Zahid “kembali selepas menyelesaikan apa yang perlu”.

“Beliau mahu menyelesaikan beberapa perkara peribadinya. Ia baik kerana Umno bergerak dengan baik dalam BN dan juga bersama PAS.”

Zahid bercuti daripada jawatan presiden Umno pada 18 Disember lalu dan menyerahkan tugasnya kepada Timbalannya, Mohamad Hasan. Tindakan itu dilaporkan diambil bagi mengelakkan wakil rakyat Umno meninggalkan parti itu.

Vigneswaran berkata, Mohamad sentiasa memberitahu beliau hanya menjalankan tugas presiden, bukannya memegang jawatan itu.

“Mereka sangat jelas mengenai perkara itu sejak hari pertama lagi.”

Katanya, Zahid yang memutuskan untuk bercuti sementara dan tidak semestinya ada “masa baik” untuk pergi atau kembali.

Beliau berkata, walaupun berdepan puluhan tuduhan, tetapi Zahid belum disabitkan dengan sebarang kesalahan.

“Pendapat peribadi saya ialah beliau mempunyai sokongan akar umbi yang sangat kuat. Beliau juga mempunyai sokongan bekas perdana menteri, Najib Razak.”

Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker bersetuju tiada kejutan dengan keputusan Zahid menyambung tugasnya sebagai presiden Umno, khasnya susulan kerjasama politik Umno dan PAS.

Katanya, rakyat bosan kerana keadaan ekonomi tidak stabil dan rasa puas hati terhadap politik yang semakin meningkat.

Beliau turut mendapati perpecahan politik berdasarkan perkauman yang semakin meningkat.

“Pilihan raya umum akan datang akan menunjukkan perpecahan jelas dan berlainan berdasarkan perkauman, tidak kira siapa pemimpin parti itu.

“Dengan ekosistem politik baru PAS dan Umno yang semakin popular, tidak mengejutkan Zahid memutuskan untuk menyambung semula tugasnya sebagai presiden Umno,” katanya kepada FMT.

Ditanya makna kepulangan Zahid kepada BN, beliau berkata: “Jika parti boleh kembali kepada semangat asal dan matlamat pembentukan BN, rakyat lebih terbuka kepada model lama toleransi, kompromi dan nasionalisme.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.