
Presiden DPMM Rizal Faris Mohideen Abdul Kader berkata, tindakan itu akan diambil secepat mungkin terhadap mereka mengikut nasihat peguam DPMM.
“Keputusan ini diambil setelah perwakilan mengusulkannya dalam resolusi Mesyuarat Agung Tahunan DPMM ke-53.
“Tuduhan Syed Hussein bersama 17 bekas ahli adalah tidak berasas dan menjalankan AGM secara tidak sah adalah unsur jenayah,” katanya kepada FMT selepas selesai AGM DPMM ke-53 di sini, semalam.
Khamis lepas, DPMM meluahkan rasa kesal terhadap tindakan 18 orang bekas ahlinya, termasuk timbalan presiden yang menggunakan nama DPMM secara haram dan tidak sah.
Ini termasuk kegiatan menggunakan kepala surat dewan dan membuat perjumpaan dengan seorang menteri kanan di Putrajaya sebagai ahli majlis eksekutif Dewan (MED) itu sedangkan keahlian dan jawatan mereka sudah terlucut pada Nvember lalu.
Rizal menyifatkan perbuatan kesemua 18 bekas ahli majlis itu sebagai mengkhianati dewan, menipu dan menularkan berita palsu tentang kegiatan mereka.
Sebelum ini Rizal mengumumkan keahlian 16 ahli majlis eksekutif tergugur kerana membuat saman pemula terhadap dewan, mengikut Fasal 27.2 undang-undang tubuh (UUT) DPMM.
Rizal berkata, DPMM juga sudah membuat laporan polis terhadap mereka dan menunggu siasatan polis.
Beliau berkata, sikap Syed Hussein sendiri menunjukan beliau tidak ikhlas terhadap DPMM setelah menarik balik tuduhannya sebelum ini.
“Beliau memberi alasan menarik tuduhan sebelum ini setelah menang dipilih menjadi presiden DPMM. Tetapi pemilihan dibuat secara tidak sah.
“Beliau hanya mementingkan jawatan dan ini menunjukkan rakusnya Syed Hussein,” katanya.
Dalam pada itu, Rizal berkata dalam AGM itu, semua ahli DPMM memperakui beliau sebagai presiden DPMM yang sah.
Beliau berkata, AGM itu juga telah melantik timbalan presiden serta 3 naib presiden DPMM yang baru.
“Timbalan presiden DPMM, Don Nazwim Don Najib dan naib presiden adalah AG Buhtamam AG Mahmun, Rozman Isli dan Mohd Fadzli Mustafa,” katanya.
Sebelum ini, timbalan presiden DPMM Syed Hussein dan 17 ahli exco dewan itu mengemukakan saman pemula terhadap Rizal untuk memohon mahkamah membuat keputusan memerintahkan majlis eksekutif mengadakan satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) berhubung konflik dalaman badan itu.
Media melaporkan saman pemula itu adalah berkaitan dakwaan kehilangan wang sebanyak RM5 juta dan penjualan 2 hartanah milik DPMM di Plaza Damansara, Kuala Lumpur bernilai RM11.6 juta.
Bagaimanapun, Rizal mendakwa saman tersebut sudah ditarik balik oleh pihak terbabit pada Selasa lepas.