‘Malaysia dah terkenal pun’, DPMM bidas Kok berkait sijil halal

‘Malaysia dah terkenal pun’, DPMM bidas Kok berkait sijil halal

DPMM berkata Malaysia sudah dikenali sebagai peneraju industri halal di peringkat antarabangsa.

Presiden DPMM Norsyahrin Hamidon berkata pandangan Teresa Kok yang pensijilan halal akan menjadikan Malaysia bahan ejekan tidak berasas.
PETALING JAYA:
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) membidas kenyataan Teresa Kok yang cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal akan mencetuskan reaksi negatif malah mungkin memalukan negara di peringkat antarabangsa.

Presiden Norsyahrin Hamidon berkata, di peringkat antarabangsa Malaysia sudah dikenali sebagai peneraju industri halal, dan langkah itu akan memperkukuh kedudukan negara selaku hab halal global yang diiktiraf.

“Pandangan bahawa ia akan menjadikan Malaysia bahan ejekan adalah tidak berasas dan bertentangan realiti perkembangan pasaran halal dunia yang bernilai trilion dolar.

“DPMM menegaskan industri halal Malaysia diunjurkan berkembang kepada RM500.4 bilion pada 2030, dengan sumbangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 8.1% menjelang 2025 menerusi Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, naib pengerusi DAP itu berkata pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Ahli Parlimen Seputeh berkata, ia dilihat menghalang kebebasan pilihan pengguna serta bertentangan semangat kepelbagaian budaya dalam negara malah mungkin memalukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Norsyahrin berkata pandangan Kok yang langkah itu bertentangan semangat kepelbagaian budaya juga tidak tepat, sebaliknya ia adalah cara untuk menghormati sensitiviti masyarakat Islam yang membentuk majoriti penduduk negara, sambil memberi ruang kepada pelbagai sektor perniagaan terus berkembang.

Katanya, pensijilan halal adalah suatu keperluan penting yang memastikan standard kebersihan, keselamatan makanan, dan kepatuhan syariah, bukan sahaja untuk umat Islam tetapi pengguna bukan Islam yang semakin menyedari kualiti diiktiraf melalui proses pensijilan itu.

“Ia tidak sepatutnya dilihat sebagai beban kepada perniagaan, tetapi peluang untuk meningkatkan keyakinan pelanggan dan membuka pasaran lebih luas, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Pengusaha yang mempunyai pensijilan halal sering dilihat lebih kompetitif dan dipercayai pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu seharusnya dilihat sebagai inisiatif akan membantu lebih ramai pengusaha, termasuk Melayu untuk mengambil peluang dalam industri halal yang berkembang pesat.

“Dengan sokongan sewajarnya, terutama dari segi pendidikan dan bantuan teknikal, peniaga kecil juga mampu menyesuaikan diri dan memanfaatkan pensijilan halal sebagai nilai tambah kepada perniagaan mereka,” katanya.

DPMM menegaskan, pensijilan halal seharusnya dilihat langkah positif bukannya beban demi memajukan perniagaan tempatan dan mengukuhkan imej Malaysia di mata dunia.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal, namun ia mengecualikan premis menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.