
Presiden Norsyahrin Hamidon berkata langkah itu secara tidak langsung dapat membantu memperkasakan pembangunan ekonomi Bumiputera seiring cabaran Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada organisasi terbabit, semalam.
Menurutnya, saranan perdana menteri yang mencabar GLC dan GLIC membantu meningkatkan ekonomi Bumiputera bukan sesuatu mustahil dicapai sekiranya mempunyai iltizam kuat.
“Sebagai contoh, pembelian produk dan perkhidmatan sokongan daripada komuniti Bumiputera untuk kegunaan GLC, GLIC dan agensi kerajaan adalah satu langkah penting.
“Langkah itu berpotensi menyumbang hasil berbilion ringgit kepada ekonomi Bumiputera dan memberi peluang kepada usahawan Bumiputera meningkatkan kualiti, kapasiti dan keupayaannya malah akan menghasilkan limpahan ekonomi besar,” katanya dalam kenyataan.
“Usaha ini juga bertepatan saranan perdana menteri agar produk kraf tempatan dijadikan cenderahati wajib sempena Asean 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Semalam, Anwar mahu GLIC dan GLC memainkan peranan utama bagi memperkasakan pembangunan ekonomi Bumiputera.
Beliau yang juga menteri kewangan mencabar ketua-ketua GLIC dan dan GLC mengemukakan cadangan bernas dan menggerakkan prakarsa terkait pembangunan ekonomi Bumiputera.
Usaha untuk memperkasa syarikat Bumiputera dalam peroleh kerajaan telah dibincangkan dalam Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang berperanan sebagai platform utama memantau keberkesanan pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (Putera35).
Anwar melancarkan Putera35 pada Ogos tahun lalu yang bertujuan mengangkat darjat dan martabat Bumiputera agar sejajar dengan aspirasi Ekonomi Madani.
Putera35 menggarap tiga teras utama dengan 12 pemacu dan 132 ikhtiar dalam memperkasakan lagi agenda Bumiputera.