Saya tak terima wang Najib atau dana 1MDB, kata presiden DPMM

Saya tak terima wang Najib atau dana 1MDB, kata presiden DPMM

Rizal Faris Mohideen Abdul Kader berkata, dakwaan penyelewengan RM5 juta yang disalurkan Pejabat Perdana Menteri ialah peruntukan untuk membangunkan satu aplikasi perniagaan atas talian yang dikenali sebagai "Go 4.0".

Rizal Faris Mohideen Abdul Kader menunjukkan undang-undang tubuh dan peraturan DPMM dalam sidang media di ibu pejabat DPMM hari ini.
KUALA LUMPUR:
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Rizal Faris Mohideen Abdul Kader berkata, beliau tidak pernah menerima sebarang wang daripada dana 1MDB atau bekas perdana menteri, Najib Razak.

Beliau berkata, dakwaan penyelewengan RM5 juta yang disalurkan Pejabat Perdana Menteri ialah peruntukan untuk membangunkan satu aplikasi perniagaan atas talian yang dikenali sebagai “Go 4.0”.

Katanya, dana itu diperolehi selepas DPMM mengemukakan idea itu kepada perdana menteri yang juga menteri kewangan ketika itu, Najib.

“Jadi, mereka gunakan projek itu dan buat tuduhan berlaku penyelewengan dalam projek itu.

“Saya cakap saya tiada dalam 41 senarai terima duit 1MDB, saya juga tak terima satu cek pun dari Najib Razak,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat DPMM di sini, hari ini, merujuk senarai 41 individu dan entiti yang didakwa menerima dana 1MDB yang dimasukkan ke akaun Najib.

Jumaat lalu, SPRM mengumumkan ia memfailkan permohonan pelucuthakan sivil terhadap 41 individu dan entiti untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta yang didakwa dana 1MDB.

Konflik dalaman kepimpinan DPMM menjadi tumpuan tahun lalu, apabila Timbalan Presidennya, Syed Hussein Alhabshee dan 17 ahli menyaman Rizal Faris dan Setiausaha Agungnya, Don Nazwin Don Najib berhubung RM5 juta diperuntukkan Pejabat Perdana Menteri kepada DPMM sebelum pilihan raya umum ke-14 lalu.

Lapan belas individu itu mendakwa wang itu tidak dimasukkan ke akaun DPMM, sebaliknya disalurkan ke akaun Yayasan DPMM Pulau Pinang tanpa kelulusan Majlis Eksekutifnya.

Mereka turut mendakwa RM1 juta disalurkan kepada DPMM melalui sebuah syarikat dikenali sebagai “Redberry”, tetapi Rizal menggunakan wang itu untuk kempen pilihan raya tanpa kelulusan Majlis Eksekutifnya.

Syed Hussein bersama 17 ahli itu mengadakan mesyuarat agung luar biasa untuk menyingkirkan Rizal sebagai presiden, November lalu, tetapi beberapa jam kemudian, Rizal mengadakan mesyuarat agung tahunan yang memutuskan “pemecatan” 18 individu itu.

Hari ini, Rizal Faris mengesahkan DPMM pernah disiasat pihak berkuasa berhubung dakwaan penyelewengan RM5 juta daripada Pejabat Perdana Menteri di bawah pentadbiran Najib.

Katanya, wakil DPMM pernah dipanggil untuk memberi keterangan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Putrajaya sekitar Mac lalu dan mereka turut memberi kerjasama penuh sepanjang audit dalaman oleh SPRM dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

“Saya sendiri buat laporan polis, saya mahu saya disiasat. Saya juga buat aduan kepada SPRM dan sudah tentu kepada JPPM juga.

“Kami kena audit, macam-macam diaudit. Tapi kerana kami ‘lulus’ semua (proses itu), nama kami masih tertera di E-Roses (semakan pendaftaran atas talian JPPM).”

Mac lalu, FMT melaporkan JSJK Putrajaya memanggil pemegang jawatan tertinggi dan 3 ahli DPMM, termasuk Rizal untuk mengambil keterangan mereka sebagai saksi di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.