Kita tak boleh puaskan hati semua, kata Dr M selepas pasukan khas dikritik

Kita tak boleh puaskan hati semua, kata Dr M selepas pasukan khas dikritik

Perdana menteri berkata, beliau tidak boleh memuaskan hati semua pihak dalam pelantikan 6 ahli pasukan petugas khas menyiasat kehilangan paksa Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh.

Mahathir Mohamad berucap pada majlis pelancaran Dasar Pembangunan Luar Bandar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
PUTRAJAYA:
Dr Mahathir Mohamad mempertahankan pelantikan 6 ahli pasukan petugas khas bagi menyiasat penemuan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang mendakwa Cawangan Khas Bukit Aman terbabit dalam kehilangan paksa Pastor Raymond Koh dan aktivis, Amri Che Mat.

“Kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak, ada yang gembira dan ada yang tidak. Saya tidak boleh jamin kepuasan 100%,” katanya selepas melancarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Ditanya jika beliau mempunyai sebarang masalah dengan pasukan petugas khas itu, perdana menteri berkata, beliau akan meneliti aduan mengenainya.

“…kita akan tanganinya dan memperbaikinya.”

Semalam, kerajaan mengumumkan pelantikan bekas hakim Mahkamah Tinggi, Abd Rahim Uda untuk mengetuai pasukan petugas khas itu.

Ahli lain ialah bekas ketua Bahagian Perundangan PDRM, Mokhtar Mohd Noor, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Zamri Yahya, Pengarah Bahagian Operasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Muhammad Bukhari Ab Hamid, pegawai undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd Sophian Zakaria dan setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis, Mohd Russaini Idrus.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, majoriti ahli pasukan petugas khas itu ialah pegawai polis, tetapi mereka tiada kaitan dengan Cawangan Khas yang didakwa terbabit dalam kehilangan Amri dan Koh.

Bagaimanapun, Norhayati Ariffin, isteri kepada Amri memberi amaran Mokhtar yang menganggotai pasukan petugas khas itu berpotensi berdepan percanggahan kepentingan kerana beliau terbabit secara langsung dalam siasatan kehilangan aktivis Perlis itu.

Katanya, Mokhtar yang mengetuai Bahagian Perundangan PDRM ketika itu, terbabit apabila pegawai penyiasat, Khor Yi Shuen memindahkan kes itu ke Bukit Aman.

Keluarga Koh yang kesal 3 daripada 6 anggota pasukan petugas khas ialah pegawai polis itu mahu peguam keluarga terkesan dilantik bagi memastikan pendekatan adil dan seimbang dalam siasatan.

Pada 3 April lalu, inkuiri Suhakam ke atas kehilangan Koh dan Amri menyimpulkan 2 lelaki itu ialah mangsa kehilangan paksa membabitkan anggota polis Cawangan Khas.

Koh dilaporkan diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017, sementara Amri yang merupakan pengasas persatuan kebajikan, Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016, selepas keluar dari rumahnya di Kangar.

Koh didakwa menyebarkan agama Kristian kepada umat Islam, dakwaan yang dinafikan keluarganya, manakala Amri dilaporkan cenderung kepada ajaran Syiah ang dilabelkan sesat oleh pihak berkuasa agama tempatan.

Pemilihan PPBM

Mahathir yang juga pengerusi PPBM berkata, mereka berpendapat pemilihan parti yang perlu diadakan menjelang September ini seperti ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, perlu diadakan lebih awal.

“…pemimpin yang ada pada hari ini merupakan pemimpin dilantik, kadang-kadang tidak berjaya mengembangkan parti. Jadi, tidak tangguh pemilihan.” 

Media sebelum ini melaporkan ada kalangan pimpinan PPBM yang berhasrat menangguhkan pemilihan parti untuk menyelesaikan pendaftaran beberapa cawangan mengikut peruntukan Akta Pertubuhan 1966.

Selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM pada 28 Mei lalu, Mahathir mengumumkan perhimpunan agung khas akan diadakan pada 20 Julai ini untuk meminda perlembagaan parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.