Boleh capai pertumbuhan KDNK 5% tahun ini, kata Guan Eng

Boleh capai pertumbuhan KDNK 5% tahun ini, kata Guan Eng

Kerajaan juga melaksanakan rancangan pengukuhan fiskal dengan mengurangkan defisit kewangan daripada 3.7% KDNK pada 2018 kepada 3.4% tahun ini dan 3.0% tahun 2020.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
PUTRAJAYA:
Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini berkata, Malaysia boleh mencapai pertumbuhan Keluaran Kasar Dalam Negeri (KDNK) 5% tahun ini.

Katanya kerajaan juga melaksanakan rancangan pengukuhan fiskal dengan mengurangkan defisit kewangan daripada 3.7% KDNK pada 2018 kepada 3.4% tahun ini dan 3.0% tahun 2020.

“Menjelang 2012, kita akan dapat mengurangkannya di bawah 3.0%. Rancangan pengukuhan ini penting bagi mempertahankan kadar penarafan kredit kita yang tinggi iaitu A3/A-.

“Bagaimanapun, Malaysia mengutamakan pertumbuhan ekonomi dan pengukuhan kewangan tidak akan mengorbankan rakyat,” katanya pada Mesyuarat Perundingan Belanjawan di Kementerian Kewangan di sini.

Belanjawan 2020 akan dibentangkan di Parlimen pada 11 Oktober. Temanya ialah “Kemakmuran Bersama: Menjana Pertumbuhan Inklusif Bermutu Tinggi ke arah Ekonomi Pendapatan Tinggi”.

Mesyuarat hari ini dihadiri wakil daripada 304 agensi kerajaan, syarikat berkait kerajaan, kementerian, pertubuhan persendirian dan badan antarabangsa.

Lim juga berkata, kerajaan akan beralih kepada perakaunan terakru daripada perakaunan tunai menjelang 2021 bagi memastikan pemakluman lebih telus mengenai hutang dan liabiliti selain nilai aset.

Katanya kerajaan mencapai kemajuan baik dalam pengurusan hutangnya, dan paras hutang dan liabiliti mengurang daripada 79.3% KDNK pada 2017 kepada 75.4% pada 2018.

Katanya, kerajaan mahu berbelanja lebih banyak tetapi dihalang oleh isu seperti 1MDB.

“Tidak ada negara yang hilang RM150 bilion tetapi tidak terkesan olehnya,” kata beliau. “Kita belum selamat lagi.

“Tetapi walaupun dengan hutang yang besar ini, kita belum bankrap dan masih boleh membayar gaji pegawai awam.”

Beliau juga bercakap tentang inisiatif pembaharuan lain seperti pengenalan Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan yang kayanya akan memperkuat kredibiliti serta akauntibiliti kewangan awam.

Katanya kerajaan juga mewujudkan Pejabat Pengurusan Hutang bagi mengurus hutang dan liabiliti keseluruhan kerajaan dan melaksanakan penaksiran serta pelaporan komprehensif pendedahan risiko kewangan.

Berhubung kos sara hidup, beliau berkata, kerajaan sedang merangka Indeks Kos Hidup sebagai pelengkap kepada Indeks Harga Pengguna (CPI) yang ada sekarang.

“Tidak seperti CPI, yang menjejak perubahan umum harga pengguna, indeks baru ini akan menentukan kos sara hidup minimum yang perlu untuk hidup selesa,” katanya.

“Ia akan membantu kerajaan menangani kos sara hidup yang dihadapi rakyat melalui dasar lebih tepat, selain menyekat tingkah laku monopolistik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.