Bohong, saya tak pernah terima dana 1MDB, kata Shafie Apdal

Bohong, saya tak pernah terima dana 1MDB, kata Shafie Apdal

Ketua menteri Sabah itu berkata, beliau antara menteri persekutuan yang lantang mengkritik penyalahgunaan dana di bawah 1MDB ketika isu itu timbul.

Shafie Apdal (4 dari kiri) menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya anjuran Sawit Kinabalu Sdn Bhd di Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU:
Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal menafikan beliau pernah menerima wang daripada 1MDB dan menyifatkannya “bohong semata-mata”.

“Malah, saya salah seorang menteri persekutuan yang bercakap mengenai penyalahgunaan dana di bawah 1MDB ketika itu,” katanya menjawab gesaan Presiden Gerakan, Dominic Lau supaya beliau dan bekas pemimpin Umno lain mengembalikan dana dikaitkan kepada 1MDB.

Shafie yang merupakan naib presiden Umno ketika isu itu tercetus, berkata wang itu mungkin sudah diberikan Umno Sabah, tetapi itu ialah hal parti.

Secara peribadi, katanya, beliau tidak pernah menerima sebarang wang daripada 1MDB.

“Jika wang itu diberikan kepada Umno Sabah, macam mana saya menolaknya? Saya bukan ketua Umno negeri ketika itu. Itu ialah (bekas ketua menteri) Musa Aman.

“Tambahan, jika wang itu kemudiannya diagihkan kepada Umno bahagian, ia terpulang kepada jawatankuasa negeri. Saya tidak boleh kata saya tidak boleh menerimanya kerana ia adalah keputusan parti ketika itu.

“Tetapi untuk kata saya terima wang 1MDB…itu adalah bohong semata-mata.

“Jika ia benar, kenapa saya lantang menentangnya sampai tahap saya dibuang daripada Kabinet persekutuan akhirnya?” katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya anjuran Sawit Kinabalu Sdn Bhd di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempertahankan Mukhriz Mahathir, Muhyiddin Yassin dan Shafie yang pernah mengetuai Umno Kedah, Johor serta Sabah.

Katanya, ketiga-tiganya tidak pernah menerima wang 1MDB dalam akaun peribadi mereka.

Sebelum ini, Lim dilaporkan berkata, terdapat lebih 41 penerima wang didakwa daripada 1MDB seperti dinamakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam permohonan pelucuthakan sivil yang difailkan baru-baru ini.

Mengenai Sawit Kinabalu, sayap pelaburan kerajaan Sabah dalam industri sawit, Shafie berkata, beliau kagum dengan pengurusan syarikat itu walaupun berdepan keadaan tidak menentukan pasaran minyak sawit.

Katanya, harga rendah komoditi itu adalah luar biasa dan ia menjejaskan prestasi syarikat berkenaan.

“Itu sebabnya kita perlu memastikan prestasi sektor lain lebih baik untuk meraih pendapatan bagi kerajaan.”

Beliau berkata, industri minyak sawit boleh meneroka cara lain untuk mempelbagaikan produknya, termasuk melalui aktiviti hiliran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.