
Teoh Beng Hock Trust for Democracy terkejut mendengar polis Selangor memanggil kakak Teoh, Lee Lan, untuk memberi keterangan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan, dilaporkan di bawah arahan Tommy Thomas.
Seksyen 342 menyatakan: “Sesiapa saja mengurung mana-mana orang akan dihukum dengan penjara bagi satu tempoh yang mungkin dilanjutkan sehingga setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.”
Pengerusi kumpulan itu, Ng Geok Chee berkata, ini menyimpang sama sekali daripada penghakiman Mahkamah Rayuan pada September 2014 yang memutuskan “seorang atau beberapa orang menyebabkan kematian Beng Hock, termasuk pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia”.
“Ini tidak konsisten dengan pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang Kabinet sudah mengarahkan siasatan baru ke atas kematian Beng Hock.”
Katanya, kumpulan itu bersama Majlis Peguam sudah mencadangkan pegawai SPRM terbabit didakwa di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kematian secara cuai atau membunuh tanpa niat yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun.
“Penghakiman Mahkamah Rayuan jelas menyatakan kecederaan pada leher Beng Hock wujud sebelum beliau jatuh, jadi ia adalah fakta tidak dapat dipertikaikan yang Beng Hock dibunuh dalam pejabat SPRM Selangor.”
Beliau berkata, polis sepatutnya menyiasat sama ada pegawai SPRM menyebabkan kematian Teoh, bukannya hanya menyiasat tanggungjawab tatacara pegawai terbabit.
“Kabinet perlu menjelaskan sama ada siasatan polis berubah arah mendapat persetujuan mereka.
“Peguam negara perlu menjelaskan kenapa beliau mengabaikan langsung isu utama pembunuhan politik dalam mengarahkan siasatan semula dan tidak mempedulikan pelanggaran hak asasi manusia oleh SPRM.”
Ng berkata, kumpulan itu sudah menulis surat 3 kali kepada Thomas meminta diadakan pertemuan bagi mendapatkan butiran kes itu.
“Bagaimanapun, beliau tidak memberi sebarang respons langsung. Kami kecewa dengan kekurangan usaha wajar yang menjadi kebiasaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional terdahulu.”
Pada 16 Julai 2009, Teoh yang merupakan setiausaha politik kepada Exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat 5 Plaza Masalam di Shah Alam, beberapa jam selepas beliau disoal siasat SPRM Selangor di pejabatnya di tingkat 14 bangunan sama.
Suruhanjaya Siasatan Diraja menyimpulkan Teoh didorong untuk membunuh diri oleh cara soal siasat agresif pegawai SPRM. Ia turut menyalahkan 3 pegawai atas cara agresif mereka yang dikatakan melanggar prosedur.