Isu ‘land swap’, Hishammuddin hadir ke SPRM

Isu ‘land swap’, Hishammuddin hadir ke SPRM

Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi juga dijangka dipanggil oleh SPRM kerana beliau juga pernah menjadi menteri pertahanan.

Bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein hadir ke SPRM Putrajaya pagi ini berikutan siasatan urus niaga ‘land swap’ membabitkan kementerian itu sebelum ini.
PUTRAJAYA:
Bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini dikatakan untuk memberi keterangan kepada agensi anti rasuah itu berhubung siasatan kes urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik Kementerian Pertahanan.

Hishamuddin dilihat tiba di pekarangan pintu masuk SPRM pada pukul 11.03 pagi dengan menaiki kenderaan jenis Vellfire berwarna hitam.

Apabila ditanya apakah kes yang akan disoal siasat hari ini, Hishammuddin berkata beliau tidak pasti.

“Saya tak tahu. Tak tahu soalan apa mereka nak tanya,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di pintu masuk utama SPRM.

Terdahulu, Hishammuddin dilaporkan berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk memberikan kerjasama kepada SPRM berhubung kes itu sejurus sahaja tiba ke tanah air dari luar negara.

Media sebelum ini melaporkan beliau adalah antara individu yang akan dipanggil selepas cuti Aidilfitri berhubung siasatan kes urus niaga ‘land swap’ (penswastaan untuk memajukan tanah) membabitkan tanah milik kementerian tersebut.

Seorang lagi individu yang dijangka dipanggil oleh SPRM ialah bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang juga pernah menjadi menteri pertahanan.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mendedahkan kerajaan rugi lebih RM500 juta disebabkan urus niaga ‘land swap’ tersebut.

Semua kerugian dan ketirisan itu dilapor membabitkan 16 projek ‘land swap’ terdiri daripada 1,183 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek sebanyak RM4.8 bilion.

LAGI MENYUSUL

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.