
Perwakilan Kelantan, Che Abdullah Mat Nawi berkata kegagalan PH melunaskan janji mereka sehingga menyebabkan rakyat marah mungkin hanya perangkap untuk parti lawan.
“Kita selalu mengambil jalan mudah dengan mengatakan kerajaan hari ini hanya kerajaan sepenggal, lalu membuai, melalaikan kita dengan satu hasrat dan kedudukan selesa, di mana kita tidak perlu kerja keras kerana kerajaan yang ada hari ini sementara, menganggap mereka gagal tunai janji.
“Apa jadi kalau berbaki beberapa bulan, mereka laksanakan semua janji dan menyelesaikan semua masalah seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kenaikan harga barang dan tol?
“Beberapa bulan selepas itu mereka akan isytihar PRU15 serta bubar Parlimen. Maka, kita akan terperangkap dalam suasana tidak bersedia,” katanya ketika membahas ucapan dasar presiden pada Muktamar PAS ke-65 hari ini.
Ahli Parlimen Tumpat itu berkata, PH tidak akan memberi kemenangan mudah kepada pembangkang untuk menawan Putrajaya.
“PAS Kelantan seru semua kepimpinan bangkit melaksanakan kerja bersungguh-sungguh. Jangan mimpi nak tawan Putrajaya kalau kita tidak mulakan kerja dari sekarang.”
Berdosa jika tak adil pada bukan Islam
Che Abdullah berkata, kepimpinan Islam berdosa jika tidak berlaku adil kepada orang bukan Islam.
Katanya, prinsip itu sejajar perjuangan PAS untuk berlaku adil kepada semua kaum dan agama menggunakan pendekatan Islam.
“Kita bertanggungjawab bukan sekadar janji kepada rakyat, kita bertanggungjawab kepada Allah.
“Menjadi satu kesalahan, berdosa kepimpinan Islam ini sekiranya tidak melakukan keadilan kepada bukan Islam. Berdosa jika tidak melakukan keadilan sesama bangsa.”
Beliau berkata, bukti PAS berlaku adil kepada semua kaum ialah penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang disertai orang bukan Islam.
Katanya, ahli DHPP terus setia bersama PAS sehingga kini kerana parti itu tidak mengamalkan diskriminasi terhadap kaum lain.