Wartawan bela ular Afrika, demi kepuasan diri dan tambah pendapatan sampingan

Wartawan bela ular Afrika, demi kepuasan diri dan tambah pendapatan sampingan

Bukan semua orang mempunyai minat yang sama apatah lagi membela haiwan eksotik di rumah, pasti ia membahayakan diri dan keadaan sekeliling.

Kebiasannya ramai memilih kucing, anjing, dan burung sebagai haiwan peliharaan.

Namun ia berbeza dengan seorang wanita ini yang menggemari haiwan eksotik iaitu membela 30 ekor ular dan kini menjadi hobinya bersama suami.

Bermula sejak 2012, minat Julia Ismail, 36 terhadap ular begitu mendalam apabila beliau merasakan haiwan eksotik ini mempunyai kelainan yang tersendiri dan unik.

Namun Julia mempunyai minat yang tertentu terhadap jenis ular kerana lebih cenderung terhadap ular yang bukan jenis tempatan.

“Spesis ‘cornsnake’ ini ada banyak variasi warna (morph) yang berbeza-beza, warna dia cantik, dan corak yang sangat unik, sebab itu dalam ular yang saya ada, paling banyak adalah ‘cornsnake’,” katanya kepada FMT.

“Cornsnake” spesis ular berasal daripada utara Amerika Syarikat, malah Julia juga membela ular jenis “Mexican Black King” dan “Ball Phyton “dari Afrika yang perlu mempunyai lesen daripada Jabatan Perhilitan untuk membelanya.

“Daripada ular yang dibela itu, banyak yang bertelur dan saya jual setiap satunya berharga RM250 ke RM300.

“Ia boleh menampung keperluan pada peringkat permulaannya untuk membeli tikus putih sebagai makanan ular, namun kini saya membela tikus putih bagi menjimatkan kos,” ujarnya lagi.

Tambah Julia, membela ular bukan sekadar minat semata-mata kerana ia boleh menjana pendapatan sampingan selain daripada tugas hakiki sebagai seorang wartawan di sebuah syarikat.

“Bela ular ini memang ada tapi tak ramai. Jadi saya tahu akan ada sahaja permintaan terhadap ular ini jika mereka ingin membuat dokumentari, malah di set penggambaran juga, mereka akan menyewa ular saya untuk setiap sesi tersebut.

“Ada suatu masa dulu saya baru pulang dari 1 set penggambaran dan mereka memberi elaun pada saya kerana sewa ular, dan dalam perjalanan pulang ke rumah saya telah membeli sofa menggunakan duit itu,” katanya.

Julia daripada dahulu lagi seorang individu yang bekerja keras bagi mendapatkan sesuatu tanpa pertolongan orang lain.

Beliau bukan sahaja membela ular, malah tikus yang dibelanya kini mencecah 50 ekor sebagai makanan ular peliharaannya yang akan diberi makan seminggu sekali.

“Harga tikus bagi setiap ekor adalah mahal, jadi saya bercadang untuk membela tikus putih pula, dan akhirnya saya berjaya,” ujarnya.

Beliau tahu minatnya itu tidak akan mendapat sambutan daripada masyarakat luar kerana takut kepada haiwan eksotik ini, malah ia turut membahayakan anak-anak jika tidak betul cara menjaganya.

Namun jelas Julia hobinya ini lebih kepada kepuasan diri semata-mata dan bukanlah berniat untuk menakutkan sesiapa.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.