
Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu berkata, beliau hadir ke majlis berkenaan selepas mendapat jemputan sebagai tetamu kehormat dari pucuk pimpinan PAS untuknya berucap.
“Kalau ditanya kenapa saya datang, orang sudah jemput, saya pergilah. Bukan saya minta berucap, parti yang jemput. Tetapi macam inilah, saya tidak kisah apa yang orang nak cakap pada saya.
“Niat saya pergi adalah untuk wujudkan kesatuan. Saya bukannya hentam mana-mana pihak. Saya cuma beritahu bagaimana kita umat Islam boleh bersatu. Matlamat perjuangan kita adalah sama,” katanya kepada FMT.
Zamri berkata, sewaktu berucap semalam, beliau hanya meminta supaya umat Islam bersatu padu dan pada masa sama menyokong penceramah kontroversi Dr Zakir Naik yang ketika ini ditekan kerajaan India.
“Saya datang semalam bukannya hendak bertanding, saya bukan ahli politik dan bukannya ahli PAS. Saya sendiri tidak tahu apakah yang mereka persoalkan.
“Harus diingatkan, saya bukan pesaing pimpinan PAS, saya bukannya hendak bertanding di Perlis. Saya hanya bercakap mengenai penyatuan, saya juga tidak meminta delegasi PAS menyokong saya,” katanya.
Terdahulu, pemimpin Pemuda PAS mempersoalkan tindakan parti menjemput Zamri ke majlis perasmian muktamar sayap itu semalam.
Setiausaha PAS Perlis, Mohamed Azreen Jumri menuduh Zamri yang merupakan antara orang kuat Asri di negeri itu, sebagai individu yang memfitnah parti Islam tersebut.
Bagaimanapun, Pemuda PAS Malaysia hari ini memohon maaf kepada perwakilan Pemuda dan PAS Perlis susulan kontoversi menjemput Zamri berucap di pentas sayap itu semalam.
Permohonan maaf dibuat Pengarah Panitia Muktamar Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamuddin yang memaklumkan tidak mendapat maklumat bahawa PAS Perlis mempunyai isu dengan Zamri.
Zamri bagaimanapun berkata, adalah tidak wajar pimpinan PAS menuduhnya sedemikian, memandangkan menurutnya beliau tidak mempunyai masalah dengan pucuk pimpinan parti berkenaan.
“Saya minta mereka berikan bukti atas apa yang mereka katakan, bahawa saya memfitnah parti berkenaan. Katakan saya fitnah, kena berikan bukti yang mana saya fitnah mereka.
“Sebenarnya PAS di peringkat Pusat dan negeri tidak ada masalah dengan saya, malah PAS Perlis juga tidak ada masalah. Saya secara peribadi juga tidak ada masalah dengan mereka.
“Mungkin mereka anggap saya sebagai musuh, cuma saya pula anggap mereka sebagai saudara seagama. Dalam dunia ini kita tidak boleh minta semua orang sukakan kita dan saya juga tidak boleh ubah semuanya,” katanya.