Rafizi tegur budaya tak pandang pemimpin berkebolehan

Rafizi tegur budaya tak pandang pemimpin berkebolehan

Bekas timbalan presiden PKR berkata negara ada ramai calon perdana menteri tetapi formula untuk selesai masalah kurang.

Rafizi Ramli
Bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata rakyat kena tukar kaedah pilih ahli politik dan parti politik jika mahu melihat negara mengatasi masalah.
PETALING JAYA:
Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli menegur budaya masyarakat negara ini menilai calon pemimpin berdasarkan sentimen dan personaliti, bukannya berdasarkan kebolehan mentadbir.

Bekas menteri ekonomi itu berkata, budaya berkenaan menjadikan ramai calon perdana menteri diketengahkan, namun formula untuk menyelesaikan masalah kurang.

“Budaya masyarakat kita yang menilai seorang calon pemimpin berdasarkan sentimen dan personaliti, bukannya kebolehan dan ilmu untuk mentadbir dan menyelesaikan masalah.

“Sedangkan pemimpin politik, baik perdana menteri, menteri, menteri-menteri besar itu digaji oleh rakyat untuk mentadbir dan menyelesaikan masalah,” katanya di Facebook.

Rafizi berkata, masyarakat Malaysia mesti mengubah kaedah memilih orang politik dan parti politik jika mahu melihat negara mengatasi masalah.

“Kitaran ini akan berterusan, masalah akan dipanjangkan dan sebenarnya yang menanggung beban adalah tukang wala’ politik tidak bergaji juga.”

Walaupun tidak merujuk secara langsung, Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu minggu lalu menamakan Presiden Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri pada PRU16.

Kekecohan tercetus ketika Muhyiddin sedang memberi ucapan dasar pada malam Sabtu, sejurus beliau mendedahkan ada pihak mengumpul tandatangan untuk menggulingkannya.

Sekumpulan kecil perwakilan bangun dan menjerit supaya Muhyiddin letak jawatan, sambil disusuli teriakan sokongan ‘hidup Tan Sri’, merujuk kepada presiden Bersatu.

Rafizi berkata, pergolakan dalam parti politik besar dianggap perkara biasa, dengan parti lain seperti DAP, Umno, PAS, dan juga partinya, PKR, berdepan isu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.