
Pengerusi terakhir Suhakam, Razali Ismail meletak jawatan 2 minggu sebelum tamat tempoh perkhidmatan beliau. Ia berlaku berikutan inkuiri badan itu ke atas insiden kehilangan orang dan dakwaannya bahawa polis terlibat dalam pemelarian mereka.
Tempoh perkhidmatan 7 pesuruhjaya Suhakam, yang mengepalai pertubuhan itu tamat pada 25 April lepas.
“Di bawah Akta Suhakam, pesuruhjaya membuat keputusan, bukan pengerusi.
“Masih belum ada pengumuman berhubung pelantikan semua pesuruhjaya, termasuk pengerusi,” kata sumber yang mengetahui perkara itu kepada FMT.
Tempoh perkhidmatan 7 pesuruhjaya Suhakam, iaitu Lok Yim Pheng, Mah Weng Khai, Aishah Bidin, Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Francis Johen, Godfrey Gregory Joitol dan Jerald Joseph adalah selama 3 tahun bermula 2016.
“Tanpa pesuruhjaya, Suhakam tidak boleh berfungsi. Pada penggal lepas pun pelantikan pesuruhjaya tertangguh selama 2 bulan,” kata sumber.
Menurut sumber itu lagi, kelewatan pelantikan pesuruhjaya baru tidak boleh dipertahankan kerana tarikh tutup permohonan adalah pada November 2018 dan jawatankuasa pemilih telah bermesyuarat pada awal tahun ini.
“Proses penapisan dan pembuatan keputusan jawatankuasa tersebut harus didedahkan kepada umum bagi menjamin ketelusan berkenaan kriteria pemilihan. Pesuruhjaya yang dipilih mesti kompeten dan berpengalaman,” katanya.
Akta Suhakam memberi kuasa kepada badan itu menasihat kerajaan dan pihak berkuasa lain berhubung aduan terhadap mereka dan mengesyorkan langkah bersesuaian diambil, menentusahkan pelanggaran hak asasi manusia serta membuat kenyataan awam berhubung hak asasi manusia pada masa dan apabila perlu.
Ia juga diberi kuasa melawat tempat tahanan menurut prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang berkaitan tempat tahanan dan membuat syor yang perlu.
Ketika dihubungi, jurucakap Suhakam mengesahkan pesuruhjaya baru badan itu belum dilantik.
FMT sedang berusaha menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong bagi mendapatkan komen.