
The Edge Media Group berkata, TMI dibeli pada Jun 2014 daripada 2 pemegang saham pada harga RM4 juta. Pihaknya mengetahui seorang pemegang saham itu.
“Manakala seorang lagi tidak kami ketahui,” katanya dalam satu kenyataan di akhbar The Edge Weekly.
“Kami tidak sedar Jho Low pernah membiayai TMI pada 2010.”
Menurut akhbar itu, Low menyalurkan AS$9 juta kepada TMI untuk menyelamatkan portal itu, yang sebelum itu diserang Umno.
Bekas ketua pegawai eksekutif TMI, Jahabar Sadiq memberitahu FMT dia sendiri tidak tahu tentang perkara itu.
“Sepatutnya tanya orang yang dinamakan dalam laporan berita itu kerana saya tidak tahu maklumat ini,” katanya.
Edge Media Group menutup portal itu pada Mac 2016 atas sebab kewangan. Bekas kakitangan portal itu kemudian melancarkan portal baru, The Malaysian Insight.
Pada Februari 2016, TMI disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selepas menyiarkan artikel menyatakan majlis penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan Najib dituduh membabitkan isu 1MDB.
Pak Lah
Memetik sumber, The Edge Weekly melaporkan ahli perniagaan Vincent Cheah memberitahu penyiasat bahawa dia mengasaskan portal itu bersama seorang rakan kongsi, Shaik Aqmal Shaik Allauddin pada 2007, dengan niat untuk menyokong pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi menjelang pilihan raya umum 2008.
Pada PRU-12 itu, Barisan Nasional tewas di 5 negeri dan kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen. Abdullah melepaskan jawatannya pada 2009.
TMI kemudian diserang Umno yang percaya ia melemahkan pentadbiran Najib Razak.
Menurut laporan itu, bagi meredakan keadaan antara TMI dan Najib, Low membiayai TMI pada 2010, membayar AS$9 juta tetapi namanya tidak pernah muncul.
Katanya lagi, Cheah mengakui dia mengambil AS$3 juta untuk dirinya dan selebihnya digunakan untuk membiayai TMI sehinggalah ia dijual kepada The Edge Weekly.