Penyanyi mengaku tak bersalah simpan beruang matahari

Penyanyi mengaku tak bersalah simpan beruang matahari

Zarith Sofia dituduh menyimpan hidupan liar tanpa permit dan dalam keadaan memudaratkan haiwan

Zarith Sofia Mohd Yasin hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Penyanyi, Zarith Sofia Mohd Yasin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 2 pertuduhan menyimpan seekor beruang matahari di rumahnya.

Bekas peserta program realiti Rockanova itu didakwa di bawah Seksyen 69 (1) dan 86 (1)(e) Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 kerana menyimpan beruang matahari itu tanpa permit dan dalam keadaan yang memudaratkan hidupan liar itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 6 Jun lalu di pangsapuri Sentrio Perdana, Desa Pandan, Kuala Lumpur.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara 10 tahun atau didenda maksimum RM200,000 kerana menyimpan beruang matahari itu tanpa permit.

Hukuman maksimum menyimpan hidupan liar itu dalam keadaan tidak sesuai ialah denda RM50,000 atau penjara setahun.

Hakim Manira Mohd Nor membenarkan Zarith dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 bersama seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan.

Dia juga diperintah menyerahkan paspotnya kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Timbalan Pendakwa Raya, Munira Zainal Abidin menolak ikat jamin Zarith atas alasan menyimpan beruang matahari ialah kesalahan serius dan tertuduh mungkin mengganggu saksi berpotensi dalam perbicaraan akan datang.

“Jika mahkamah benarkannya diikat jamin, jumlah itu patut RM30,000.”

Bagaimanapun, Haaziq Pillai Abdullah yang mewakili Zarith menolak kemungkinan tertuduh mengganggu saksi.

“Ikat jamin untuk memastikan kehadirannya di mahkamah. Ia tidak patut keterlaluan,” katanya sambil menambah Zarith hanya mendapat RM3,500 sebulan sebagai penyanyi.

Katanya, beliau mewakili Zarith tanpa mengenakan sebarang bayaran kerana wanita itu tidak tahu apa yang perlu dilakukan di mahkamah.

Zarith yang ditahan Jumaat lalu, memberitahu media sebelum ini dia menjumpai beruang matahari itu cedera di Bukit Ampang beberapa minggu lalu dan tiada niat membelanya sebagai haiwan peliharaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.