
P Sundramoorthy dari Universiti Sains Malaysia berkata, isu lain dihadapi polis adalah ruang pejabat terhad, kekurangan peralatan, bajet terhad untuk membaiki dan menyelenggara kenderaan rasmi serta kelewatan memasang kamera litar tertutup di kawasan khas.
Katanya, masalah ini turut menyebabkan polis kecewa dan tertekan.
“Lebih penting lagi, akauntabiliti dalaman tidak berkesan dan mekanisme akauntabiliti luar yang lemah gagal mengawal serta mengurangkan rasuah dalam pasukan polis,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, rasuah mungkin menjadi godaan terbesar bagi anggota polis berpangkat rendah, jika gaji mereka tidak mencukupi, khasnya dalam persekitaran kerja yang tidak baik.
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador baru-baru ini dilaporkan berkata, menaikkan gaji anggota polis berpangkat rendah ialah satu-satunya cara mengurangkan risiko rasuah dan godaan lain untuk melakukan jenayah bagi mendapatkan wang.
Katanya, gaji anggota itu tidak cukup untuk memenuhi kos sara hidup, khasnya bagi mereka yang ditempatkan di bandar.
Sundramoorthy berkata, peluang ditahan dan dihukum kerana rasuah adalah rendah dalam sistem keadilan jenayah Malaysia.
“Ini dengan sendirinya menggalakkan amalan rasuah. Jika peluang hilang kerja sangat rendah daripada kebarangkalian ditahan kerana rasuah, maka pilihan rasional tentunya ialah menerima atau meminta rasuah.”
Katanya, semua anggota polis perlu menjadikan rasuah sebagai pantang larang dan menolak sebarang bentuk rasuah atau salah laku.
Beliau mencadangkan sistem hukuman dan ganjaran untuk mengurangkan gejala rasuah dalam pasukan polis.
“Akauntabiliti dan tahap profesionalisme tinggi dalam semua peringkat dapat mengembalikan keyakinan orang ramai kepada pasukan polis.”
Bekas presiden Transparency-International Malaysia, Akhbar Satar berkata cara terbaik untuk memerangi rasuah ialah memastikan kebajikan anggota berpangkat rendah terjaga.
Beliau mencadangkan penyediaan lebih banyak rumah untuk polis kerana ramai yang dianggap bekerja terlalu kuat, tetapi dibayar gaji tidak setimpal.
“Mereka yang tidak tinggal dalam kuarters perlu membelanjakan lebih separuh daripada gaji mereka untuk menyewa pangsapuri.”
Katanya, purata gaji anggota polis antara RM1,014 hingga RM3,517 menyebabkan mereka sukar hidup di bandar besar seperti Kuala Lumpur.
“Kerajaan perlu mempertimbangkan dengan serius menaikkan peruntukan pasukan itu dan gaji anggota berpangkat rendah, serta menyediakan kemudahan baik untuk kebajikan keluarga mereka.”
Katanya, kenaikan gaji mungkin tidak dapat menghapuskan rasuah secara menyeluruh dalam pasukan polis, tetapi ia mampu mengurangkan godaan untuk menerima rasuah.
Beliau menggesa pegawai kanan menunjukkan teladan baik dan orang ramai perlu mengelak memberi suapan kepada polis.