
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Shahurinain Jais berkata lelaki berumur 31 tahun itu dipercayai cuba terjun dari tingkat 4 bangunan itu akibat putus cinta dan masalah kewangan, tetapi berjaya diselamatkan pasukan bomba sebelum diserahkan kepada polis.
“Pada 3.15 petang, anggota polis BSI menerima panggilan daripada anggota bertugas kawalan BSI mengatakan seorang lelaki menceroboh masuk tingkat 4 bangunan bas keluar masuk Malaysia dan cuba terjun bangunan.
“Pihak bomba dipanggil untuk menyelamatkan lelaki itu dan dengan kerjasama polis BSI dan bomba, lelaki itu kemudian dapat ditenangkan serta diselamatkan pada 5.05 petang,” katanya.
Shahurinain berkata, hasil soal siasat, lelaki itu mengaku dia cuba membunuh diri kerana putus cinta dan masalah kewangan serta mengambil dadah jenis syabu.
Beliau berkata, lelaki berasal dari Kluang itu akan direman hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba bunuh diri serta Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 kerana menceroboh.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, K Karupanan berkata, lelaki itu diselamatkan selepas kira-kira setengah jam dipujuk anggota bomba.
“Bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada 3.35 petang tadi sebelum menggerakkan 17 anggota bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan ke tempat kejadian.”
Katanya, lelaki itu selamat dibawa turun dari ketinggian kira-kira 10m menggunakan “Aerial Ladder Platform” (ALP) dan operasi menyelamatkannya ditamatkan pada 5.15 petang.