Jawatankuasa Parlimen bincang pelantikan Latheefa Koya Khamis

Jawatankuasa Parlimen bincang pelantikan Latheefa Koya Khamis

PSC juga akan menulis surat kepada perdana menteri untuk menemuinya bagi membincangkan pelantikan jawatan awam kanan pada masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam, William Leong. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Khas Parlimen Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam (PSC) akan bermesyuarat Khamis ini bagi membincangkan pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi PSC William Leong berkata, beliau sendiri sudah bertemu dengan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof hari ini bagi memaklumkan mengenai mesyuarat berkenaan.

“Mesyuarat pada Khamis jam 10 pagi di bilik mesyuarat di Parlimen. Ia dibuat berhubung pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM.

“Saya sendiri sudah jumpa Speaker Dewan Rakyat pagi tadi. Saya maklum kepada dia, Khamis ini kita akan ada mesyuarat,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Leong berkata PSC akan menulis surat kepada perdana menteri untuk menemuinya bagi membincangkan pelantikan jawatan awam kanan pada masa depan.

Ini berikutan pelantikan Latheefa dibuat secara unilateral oleh Perdana itu, maupun dengan pengetahuan Kabinet.

Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam dianggotai 6 ahli Parlimen lain, iaitu Syed Ibrahim Syed Noh, Ngeh Koo Ham, Fong Kui Lun, Dr Hasan Bahrom, Ismail Sabri Yaakob dan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Akta SPRM 2009 membenarkan perdana menteri melantik ketua SPRM, tetapi Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 berjanji pelantikan itu akan dibuat melalui PSC.

Hari ini, Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa pimpinan Pakatan Harapan (PH) menerima keputusan Mahathir melantik Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM berikutan meletusnya polemik berhubung isu itu dalam kalangan pemimpin PH dan juga orang awam.

Anwar dalam kenyataannya berkata, pelbagai reaksi daan polemik yang dizahirkan dalam kalangan pimpinan PH, NGO dan anggota masyarakat dikhuatiri mendorong implikasi negatif terhadap citra dan imej kerajaan PH.

Latheefa sebelum ini berkata, beliau komited untuk membanteras rasuah dan dengan sokongan pegawai SPRM, berhasrat mahu mengubah Malaysia kepada satu masyarakat yang menolak dan bebas rasuah.

Latheefa menggantikan Mohd Shukri Abdull yang menamatkan kontrak beliau yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei 2020 lebih awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.