PM: Pelantikan Latheefa ketuai SPRM muktamad, tiada ‘u-turn’

PM: Pelantikan Latheefa ketuai SPRM muktamad, tiada ‘u-turn’

Khamis lepas, Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, perdana menteri perlu memperjelaskan pelantikan Latheefa.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM adalah sama dengan banyak lantikan lain yang dibuat sebelum ini.
ALOR SETAR:
Pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru adalah keputusan muktamad, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Perdana menteri berkata, lantikan itu dibuat seperti mana beliau melantik pegawai lain.

“Tak ada masalah, saya lantik banyak orang, banyak pegawai saya terpaksa lantik. Ini (pelantikan Latheefa) satu daripada pegawai. itu saja.

“(Keputusan melantik Latheefa) kalau dah putus, muktamadlah, takkan nak kalih balik, nanti kata saya u-turn,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir di Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Mahathir berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden PKR, Anwar Ibrahim pada Khamis lepas yang berpendapat perdana menteri perlu memperjelaskan pelantikan Latheefa.

Selain itu Mahathir juga ditanya sama ada keputusan pelantikan berkenaan itu muktamad ataupun tidak.

Mahathir berkata hubungannya dengan Anwar masih baik dan tiada masalah, malah perdana menteri menganggap presiden PKR itu berhak mendapatkan penjelasan mengenai pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM yang baru itu.

“Dia berhak nak tanya, saya berhak beri jawab,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.