Ringgit kembali ke paras 4.15 berbanding dolar AS

Ringgit kembali ke paras 4.15 berbanding dolar AS

Ia susulan reaksi positif terhadap data eksport April lalu yang diumumkan baru-baru ini terbukti mengatasi jangkaan.

KUALA LUMPUR:
Ringgit kembali dalam lingkungan paras 4.15 berbanding dolar Amerika Syarikat sewaktu ditutup hari ini, apabila meningkat 0.385 ketika peserta pasaran terus memberi reaksi positif terhadap data eksport April lalu yang diumumkan terbukti mengatasi jangkaan.

Pada 6 petang tadi, unit tempatan itu ditutup pada paras 4.1570/1620 berbanding dolar AS daripada 4.1730/1760 ketika ditutup Selasa lalu.

Ini merupakan prestasi ringgit paling kukuh sejak 10 Mei lalu, apabila ditutup pada paras 4.1570/1600.

Pasaran ditutup pada Rabu dan Khamis sempena cuti umum Aidilfitri.

Isnin lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengumumkan data eksport bagi April lalu menokok 1.15 bagi tahun ke tahun kepada RM85.2 bilion yang menamatkan penyusutan selama 2 bulan berturut-turut.

Penganalisis pasaran FXTM, Han Tan berkata, kejutan membabitkan prestasi data dagangan luar April itu ternyata membantu meningkatkan pengukuhan ringgit dalam dagangan singkat minggu ini berikutan cuti umum.

Katanya, dolar AS yang lebih lemah akibat jangkaan Rizab Persekutuan AS tidak akan menurunkan kadar faedah tahun ini, sebaliknya hanya mendorong kenaikan prestasi ringgit.

“Sejajar perkembangan yang menyaksikan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS di bawah paras 4.16 itu, unit tempatan itu dijangka dapat terus mengekalkan kenaikan berbanding dolar AS selagi tiada sebarang risiko ketara yang memberi kesan sebaliknya,” katanya kepada Bernama.

Sewaktu ditutup, ringgit turut diniagakan tinggi berbanding kelompok mata wang utama dunia.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0396/0444 daripada 3.0487/0520 pada Selasa dan meningkat berbanding yen Jepun daripada 3.8614/8652 kepada 3.8275/8331.

Ringgit juga tinggi berbanding pound Britain daripada 5.2851/2910 kepada 5.2844/2924, manakala berbanding euro, ia juga meningkat daripada 4.6930/6980 sebelum ini kepada 4.6787/6860.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.