Mat Sabu yakin PM akan nilai prestasi, kewibawaan Latheefa ketuai SPRM

Mat Sabu yakin PM akan nilai prestasi, kewibawaan Latheefa ketuai SPRM

Menteri pertahanan itu yakin perdana menteri akan membuat penilaian semula jika prestasi ketua pesuruhjaya SPRM itu tidak memenuhi hasrat pengkritik.

Mohamad Sabu yakin Dr Mahathir Mohamad akan mendengar kritikan terhadap pelantikan Latheefa Koya dan menilai prestasinya dari semasa ke semasa.
PETALING JAYA:
Mohamad Sabu yakin Dr Mahathir Mohamad akan menjadikan pandangan dan kritikan terhadap pelantikan Latheefa Koya sebagai ujian terhadap kewibawaannya untuk mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Menteri pertahanan itu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu juga yakin perdana menteri akan mendengar kritikan terhadap pelantikan itu dan menilai prestasi Latheefa dari semasa ke semasa.

“Dan jikalau prestasi Latheefa tidak memenuhi hasrat para pengkritik, saya yakin perdana menteri akan membuat penilaian semula.

“Keadaan ini akan menjadi kelegaan kepada kerajaan Pakatan Harapan yang cuba memperbaharui segala bentuk tindakan dan persembahan pemerintahannya kepada masyarakat dan negara,” kata presiden Amanah itu dalam kenyataan hari ini.

Kontrak perkhidmatan Latheefa selama 2 tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu. Beliau menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memohon kontraknya dipendekkan sebelum 17 Mei 2020.

Pelantikan Latheefa sebagai ketua pesuruhjaya SPRM mendapat reaksi bercampur-campur, termasuk kritikan daripada pemimpin PH.

Ada yang mempersoalkan pelantikan Latheefa berlawanan manifesto pilihan raya umum ke-14 PH bagi memastikan semak dan imbang serta ketelusan pelantikan jawatan awam dibuat melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.