
“Ia menyambar langsir kuil,” sami Narayanan Samy memberitahu FMT, mengingat kembali peristiwa yang berlaku 2 minggu selepas tercetusnya rusuhan kaum 13 Mei 1969.
“Kami berasa bimbang bahawa keganasan itu akhirnya menyentuh kami. Tetapi jiran Melayu dari surau bersebelahan datang untuk menenangkan kami dan menunjukkan sokongan mereka,” kata Narayanan, kini 70.
Katanya, tidak pernah berlaku perselisihan antara mereka.

Kehidupan bersama yang aman merupakan perkara biasa di kedua-dua tempat ibadat itu. Namun begitu ia tidak berlaku secara kebetulan. Keharmonian menuntut usaha.
Justeru keberadaan kedua-duanya terlalu dekat dan hanya dipisahkan oleh satu dinding dalam satu bangunan yang sama sejak 1968, mereka mecari jalan bagi memastikan wujudnya keharmonian bersama sejak sekian lama.
Narayanan memberikan contoh.

“Jika mereka bersembahyang di surau pada waktu tertentu, maka kami akan adakan majlis sembahyang sama ada lebih awal atau lambat sedikit. Banyak cara kami bekerjasama. Ia berjalan baik.”
Bendahari surau, Shefidi Hashim mengesahkan bahawa komuniti tersebut bukan sahaja rapat, tetapi juga merupakan jiran yang baik.
“Sesetengah kami boleh berbahasa Tamil. Jiran dan guru tuisyen saya orang India.
“Kami faham budaya mereka, dan mereka faham budaya kami. Kami saling menghormati,” katanya.
“Kami juga saling mengenali kerana kebanyakan kami bekerja di hospital.”
Kampung Baru, sebuah subbandar Kuala Lumpur yang terletak tidak jauh dari Menara Berkembar Petronas, diwujudkan pada dekad 1880-an sebagai sebuah komuniti pertanian bagi menarik orang Melayu ke bandar.
Pada hujung 1960-an ia menjadi pusat penting kegiatan politik dan pada Mei 1969 ia merupakan titik panas rusuhan kaum yang berlaku.

Kini Kampung Baru menjadi tumpuan pelancong kerana sajian makanan Melayu aslinya.
2 rumah ibadat berkembar itu umumnya didatangi beberapa ratus kakitangan HKL yang tinggal di kawasan perumahan berhampiran.
Penduduk Melayu tempatan sudah terbiasa dengan kuil berkenaan dan kadang kala bersiar masuk ke halamannya.

“Jiran Melayu selalu datang berjumpa kami, mungkin untuk meminta daun semambu (neem) bagi mengubat gatal dan sebagainya. Sebagai balasan mereka akan mendermakan sedikit wang kepada tabung kuil,” kata Narayanan.
“Ada juga mereka datang untuk melihat kami sembahyang dan belajar sedikit-sebanyak tentang budaya Hindu. Kami berkongsi dinding dan tidak pernah berdepan masalah sama sekali.”
Shefidi berkata, komuniti Melayu dan India yang tinggal di kuarters saling mengunjungi rumah masing-masing untuk menyambut Hari Raya dan Deepavali bersama-sama.
“Ketika Thaipusam, selepas sembahyang Isyak, kami menunggu kemunculan Kavadi dari kuil,” katanya. “Ia lalu di depan surau tanpa masalah. Kami faham budaya masing-masing”

“Bila kuil membunyikan loceng, semua orang tahu ia merupakan masa untuk upacara sembahyang di situ. Mereka sembahyang cara mereka, kami sembahyang cara kami. Tak ada masalah.”
Seorang penduduk Kampung Baru, Sahridzuan Ayub, 53, yang berada di surau berkenaan semasa kunjungan FMT berkata, penduduk di situ bangga dengan keamanan dan keharmonian yang wujud.
“Kami tahu semasa dan selepas berlakunya rusuhan dahulu banyak pihak mempunyai pelbagai persepsi, tetapi kami hidup aman,” katanya. “Ibu bapa saya rapat dengan sami kuil ini. Saya membesar dengan mengenali beliau. Malah kami saling mengenal sehingga sekarang.”
Zul, seorang remaja yang ditemui berkata, anggota kuil dan surau di situ seumpama satu keluarga. “Tidak ada masalah. Dah bertahun-tahun di sini, takda masalah.”
“Kami seperti saudara-mara. Kenapa ada pihak yang fikir kita tidak boleh hidup bersama tanpa bermusuh atau bergaduh?”