
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Mohd Rozi Jidin berkata dalam kejadian kira-kira 11.55 malam itu, Nur Qistina Qaisara Abdullah, 7, yang merupakan penumpang Perodua Viva maut di tempat kejadian.
Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang memandu kereta itu cedera di bahagian kepala dan dada, seorang wanita berusia 30 tahun patah kaki, manakala seorang lagi kanak-kanak perempuan 3 tahun tidak cedera.
Dua anggota polis berusia 56 dan 57 tahun yang bertugas di Balai Polis Kuala Kedah itu cedera ringan.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah Jalan Kuala Kedah menuju Tebengau, memasuki laluan bertentangan dan bertembung kereta peronda yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat pertembungan itu, bahagian depan kedua-dua kereta remuk teruk dan ketika siasatan dijalankan, persekitaran jalan cerah dan mempunyai lampu jalan serta keadaan cuaca adalah baik,” katanya kepada Bernama hari ini.
Rozi berkata, mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.