
Pengerusi SEDC, Abdul Aziz Husain berkata keputusan Sabah tidak meneruskan pengimportan lembu dari Australia mungkin menyebabkan kekurangan ternakan itu.
“Bukan saja lembu yang sedia dieksport berkurangan, harga juga mungkin naik kerana kerajaan perlu membeli lembu dari penternak tempatan.
“Dalam keadana itu, mengimport lembu dari Sabah bukan saja lebih mahal berbanding dulu, tetapi juga tidak praktikal,” katanya kepada FMT.
Aziz berkata, lembu dari Sabah yang kebanyakannya baka Kedah-Kelantan yang menghasilkan daging berkualiti rendah dan tidak membesar secepat baka Brahman dari Australia.
“Ia membesar dengan perlahan dan berat matang hanya sekitar 200kg hingga 250kg. Apabila anda membeli daging, anda beli berdasarkan beratnya,” katanya sambil menambah baka lembu di Australia adalah jinak dan mudah dikendalikan.
Beliau berkata, Baka Brahman membesar dengan cepat dan selesai lebih awal untuk pengeluaran daging yang baik dan peratusan lapah lebih tinggi dengan nilai potongan baik.
“Paling penting ialah berat lembu. Berat seekor lembu jantan secara purata 900kg, manakala seekor lembu boleh mencecah 600kg.”
Aziz berkata, harga lembu dari Australia mengikut berat lebih murah iaitu RM13.70 1kg, manakala lembu dari Sabah berharga RM14.30 bagi 1kg.
Katanya, walaupun harga bagi seekor lembu dari Sabah lebih murah, beratnya hanya separuh daripada lembu Australia.
“Jadi, secara dasarnya, anda mendapat lebih sedikit jika membeli (lembu) dari Sabah.”
Aziz berkata, masalah lain termasuk kos pengangkutan dan kehilangan berat ketika lembu dipindahkan.
Katanya, lembu perlu diangkut melalui jalan darat dalam jumlah kecil dari Lahad Datu dan Tawau. Ia mengambil masa lebih 2 hari untuk sampai ke stesen ternakan Karabungan di Miri dan 3 hari untuk tiba di Kuching.
“Bayaran pengangkutan ialah bagi seekor lembu, bukan ikut berat. Setiap haiwan hilang (berat) sehingga 50kg kerana mereka tidak diberikan makanan sepanjang perjalanan.”
Beliau berkata, kadar kematian adalah tinggi menyebabkan kos tambahan dan margin keuntungan berkurangan atau terpaksa menanggung kerugian.
“Di Australia, di mana kita mempunyai lebih 30,000 ekor lembu, kita boleh menghantar 1,000 hingga 2,000 ekor setiap penghantaran, menjadikan kos pengangkutan lebih murah.
“Kita juga boleh mempunyai bekalan lebih dipercayai untuk memenuhi permintaan daging, khasnya pada musim perayaan.
“Dalam kebanyakan kes, apabila kita mahu bekalan dari Sabah, mereka tidak boleh memenuhi keperluan kita dan sering menghantar lembu lebih sedikit berbanding permintaan kami,” katanya sambil menambah pengguna lebih gemar daging lembu Australia kerana kualiti dagingnya terjamin.
Pada 28 Mei lalu, Aziz berkata, SEDC membayar A$20 juta (RM58 juta) untuk membeli hartanah lembu Carmor Plains di utara Australia.
Hartanah itu ialah tambahan kepada Stesen Lembu Rosewood milik SEDC di barat Australia.