Adakah lantikan Latheefa dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas, soal ahli Parlimen

Adakah lantikan Latheefa dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas, soal ahli Parlimen

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah bersama aktivis dan kumpulan masyarakat sivil termasuk Bersih 2.0 dan C4 berkata, Latheefa Koya perlu melepaskan semua jawatan dalam PKR.

Latheefa Koya dilantik mengetuai SPRM berkuatkuasa 1 Jun lalu menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memohon kontraknya dipendekkan lebih awal.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah mempersoalkan jika pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dibuat melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam.

“Perlu ada ketelusan lebih baik dalam pelantikan (jawatan awam),” katanya kepada FMT hari ini.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Latheefa untuk mengetuai SPRM berkuatkuasa 1 Jun lalu menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memohon kontraknya yang tamat pada 17 Mei 2020 dipendekkan.

PMO dalam kenyataan hari ini berkata, pelantikan peguam dan pengarah eksekutif Lawyers for Liberty itu antara langkah pembaharuan penting ke arah proses reformasi institusi kerajaan.

Latheefa dilantik untuk tempoh kontrak 2 tahun.

Maria berkata, Latheefa yang merupakan ahli PKR perlu meletakkan keahlian parti.

Aktivis dan kumpulan masyarakat sivil lain termasuk Bersih 2.0, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) serta bekas presiden Transparency International Malaysia, Ramon Navaratnam juga sependapat yang Latheefa perlu melepaskan semua jawatan dalam PKR.

Tetapi, mereka menyambut baik pelantikan itu berdasarkan pendekatan tegas Latheefa selama ini.

“Beliau terkenal sebagai peguam yang berprinsip dan berani. Kualiti sedemikian akan menjadikannya ketua SPRM yang hebat,” kata Pengerusi Bersih, Thomas Fann.

Katanya, Latheefa juga perlu berhenti membuat kenyataan yang boleh dianggap berat sebelah.

Navaratnam bagaimanapun berkata, walaupun Latheefa masih boleh menganggotai parti politik, tetapi lebih baik beliau tidak berbuat demikian bagi mengelakkan dikritik tidak bertindak bebas dan adil.

Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel berkata pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM sepatutnya dibuka kepada calon lain dan diteliti Jawatankuasa Pilihan Khas Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam.

Tetapi, beliau menyifatkan Latheefa ialah “pilihan rawak” yang baik.

“Latheefa terkenal dengan pendekatan tidak mengarut yang berani,” katanya kepada FMT.

Bekas pengerusi DAP Johor, Boo Cheng Hau berkata, semua ahli politik perlu dilarang memegang sebarang jawatan dalam badan kehakiman atau agensi penguatkuasaan undang-undang.

“Kita perlu mendukung manifesto Pakatan Harapan dan janji untuk tadbir urus baik,” katanya merujuk manifesto pilihan raya umum ke-14 PH mengenai lantikan politik.

“Prinsip kebebasan SPRM dan badan penguatkuasaan undang-undang perlu ditegakkan.

“Pendirian saya konsisten yang pelantikan sedemikian perlu dirujuk kepada Parlimen untuk mendapat kelulusan.”

FMT sedang cuba mendapatkan komen Latheefa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.