
Klimate Action Utara Malaysia dan Klima Action Malaysia berkata, pelajar sekolah rendah itu tampil sendiri untuk menyertai bantahan itu.
Dua badan bukan kerajaan itu dalam satu kenyataan hari ini turut mengkritik Ahli MBPP, Vino Dini Chandragason menggunakan istilah “mempergunakan” kanak-kanak berulang kali sebagai “tidak berasas dan tidak kena pada tempatnya”.
Kumpulan itu berkata, kanak-kanak terbabit mendapat kebenaran sekolah dan ibu bapa mereka untuk menyuarakan kebimbangan mereka dalam bantahan itu.
“Ia dilakukan di bawah pengawasan ibu bapa mereka dan kelulusan sekolah mereka.”
Dua kumpulan itu berkata, tindakan kanak-kanak itu sama dengan protes diadakan SMJK Choong Hua di Bidor baru-baru ini, di mana semua pelajar sekolah itu di bawah pengawasan guru membawa plakad untuk menyuarakan kebimbangan mereka terhadap perubahan iklim dan kesannya kepada masa depan generasi muda.
Katanya, protes itu tidak “berpusat atau memfokuskan isu politik kecil atau menyebarkan rasa tidak puas hati terhadap Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang”.
“Kami menekankan kami tidak ‘menggunakan’ kanak-kanak untuk menyuarakan matlamat kami. Ia bertentangan sepenuhnya dengan agenda kami.
“Kami ingin menjelaskan dan menegaskan tujuan alam sekitar semata-mata.”
Vino dilaporkan berkata, kumpulan itu menyalahgunakan peranan mereka sebagai NGO dengan menggunakan kanak-kanak bagi menyampaikan mesej kepada pihak berkuasa.
“Saya sedih NGO ini menyalahgunakan kuasa dan status mereka dengan membabitkan kanak-kanak di bawah 12 tahun untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap PTMP,” kata Dino pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, 2 NGO itu berkata, masalah alam sekitar dikaitkan dengan aspirasi politik negeri itu dan dakwaan terhadap mereka ialah “cubaan oleh negeri itu untuk mengelirukan orang ramai daripada isu sebenar”.
“Penilaian dilakukan negeri itu kekurangan dari segi liputan, integriti dan kebebasan kerana ia tidak mencerminkan kesan sebenar ke atas pihak terjejas dan faktor persekitaran, oleh itu ia tidak sejajar komitmen negeri itu melaksanakan Matlamat Pembangunan Mampan sebagai asas dalam projek struktur masa depan Pulau Pinang.”
PTMP ialah rancangan kerajaan Pulau Pinang untuk mempunyai satu rangkaian lebuh raya, pengangkutan awam dan pengangkutan lain yang akan dibina dalam masa 20 hingga 30 tahun akan datang pada harga RM46 bilion. Ia akan dibiayai 3 pulau yang akan dibina di selatan Pulau Pinang.