
Presidennya, Hadi Awang berkata, pusat-pusat pendidikan bawah PAS turut tidak terlibat dengan kes seperti yang melibatkan GISBH.
“(GISBH) tiada hubungan dengan kita langsung. Bukan (terdiri daripada) ahli kita.
“(Yang) dalam pentadbiran PAS, kita terkawal. Pihak lain kita tak jaga,” katanya pada sidang media selepas perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, Temerloh.
Turut serta pada sidang media itu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.
Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS mempunyai mekanisme kawalan dalaman untuk memastikan disiplin dalam parti.
Tambahnya, semua institusi pendidikan bawah parti itu, seperti Taman Asuhan Tunas Islam (Tasti), Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), Sekolah Rendah Integrasi Islam (Sriti) dan Sekolah Menengah Integrasi Islam (Smiti) turut dipastikan dikendalikan dengan baik.
Mengulas lanjut, Hadi berkata, siasatan berhubung kes itu bergantung kepada pihak berkuasa.
Sebelum ini, GISBH terpalit kontroversi selepas 20 premis terdiri daripada pusat jagaan dan rumah amal yang mempunyai kaitan dengannya diserbu polis.
Dalam serbuan terbabit, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun yang menghuni premis-premis tersebut, selain menahan 171 individu yang mengendalikan premis untuk siasatan lanjut.