Hentak cermin kereta tidak perlu penjara 12 bulan, cukup denda, kata peguam

Hentak cermin kereta tidak perlu penjara 12 bulan, cukup denda, kata peguam

Peguam berkata mahkamah boleh mengenakan hukuman denda dan memerintahkan pesalah membayar pampasan atas kesalahannya memecahkan cermin hadapan kenderaan mangsa.

Danial Abdullah Tan mengaku bersalah menghentak cermin hadapan sebuah kereta Perodua Axia menggunakan topi keledar di Seri Kembangan pada 28 Mei lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penunggang motosikal yang didapati salah menghentak cermin kereta seorang lelaki tidak sewajarnya dikenakan hukuman penjara, sebaliknya cukup dengan hukuman denda terhadapnya, kata peguam.

Haniff Khatri Abdulla berkata, hukuman terhadap lelaki itu dibuat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 5 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

“Mahkamah sendiri bertanya tertuduh apakah yang menyebabkan beliau bertindak sedemikian. Terdapat 2 perkara penting yang boleh diambil kira mahkamah. Pertama, tertuduh berkata, motosikalnya dihimpit yang boleh menyebabkan beliau cedera.

“Apa yang lebih buruk adalah menurut tertuduh, mangsa kejadian menunjukkan ‘tanda’ jari kepadanya. Itu adalah satu provokasi terhadap tertuduh. Mahkamah sendiri dengar. Jadi bagi saya hukuman yang lebih sesuai adalah denda.

Haniff berkata, mahkamah juga boleh menetapkan perintah supaya mangsa kejadian diberikan pampasan.

“Bagi saya, trauma yang dihadapi mangsa apabila keretanya dihentak helmet, sama dengan trauma yang dialami tertuduh apabila motosikalnya dihimpit kereta,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, majistret Nurshahira Abdul Salim menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan selepas tertuduh, Danial Abdullah Tan, 31, seorang pembantu stor kilang mengaku bersalah atas tindakannya menghentak cermin kereta seorang lelaki.

Danial didakwa melakukan perbuatan khianat dan menyebabkan kerosakan pada cermin depan kereta Perodua Axia milik Siew Chean Voon, 58, dengan menghentak cermin itu menggunakan topi keledar di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, dekat sini, pada 5.30 petang 28 Mei lalu.

Danial dihukum mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 5 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Haniff berkata, walaupun Mahkamah Majistret sudah menjatuhkan hukuman, tetapi peguam mewakili tertuduh boleh membuat rayuan dan semakan kepada Mahkamah Tinggi secepat mungkin terhadap hukuman diberikan memandangkan tertuduh sudah mengaku salah.

“Mahkamah boleh menggantung hukuman penjara bagi membolehkan lelaki tersebut menikmati hari raya bersama ibu, isteri dan anak-anak. Tetapi permohonan perlu dibuat di mahkamah, kerana mahkamah tidak boleh ‘bergerak’ sendiri,” katanya.

Seorang lagi peguam Imran Tamrin berkata, tidak dinafikan perbuatan lelaki berkenaan menghentak kereta mangsa merupakan satu kesalahan dan sia-sia, bagaimanapun faktor latar belakangnya perlu diambil kira dalam menentukan hukuman.

“Dalam menentukan keadilan, kena lihat secara menyeluruh. Kita bukan menafikan kesalahannya, tetapi dari mata perundangan, tertuduh sudah buat pengakuan salah dan menyatakan sudah insaf. Ia juga kesalahan pertamanya dan dia berhak mendapatkan peluang lebih ringan.

“Kerugian mangsa juga bukanlah tinggi, hanya RM600 sahaja. Latar belakang tertuduh perlu diambil kira memandangkan dia mempunyai tanggungan, iaitu isteri serta anak yang masih kecil. Tambahan pula dalam keadaan hendak hadapi bulan Syawal. Saya rasa hukuman itu keterlaluan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.