Peguam gagal tuntut yuran guaman RM12.5 juta terhadap Bersatu

Peguam gagal tuntut yuran guaman RM12.5 juta terhadap Bersatu

Mahkamah Tinggi berkata Haniff Khatri Abdulla tidak pernah memaklumkan kepada pihak terbabit bahawa perkhidmatannya perlu dibayar.

Mahkamah Tinggi telah menolak saman peguam Haniff Khatri Abdulla terhadap Bersatu, presidennya Muhyiddin Yassin, dan dua lagi pemegang jawatan parti dengan kos RM150,000.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi telah menolak tuntutan yuran guaman RM12.5 juta difailkan peguam Haniff Khatri Abdulla terhadap Bersatu bagi perkhidmatan guaman yang diberikan antara 2016 dan 2020.

Hakim Akhtar Tahir memutuskan bahawa keterangan yang dikemukakan di mahkamah oleh defendan Bersatu, Presiden parti Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Hamzah Zainudin dan Bendahari Salleh Bajuri, lebih boleh dipercayai.

“Plaintif (Haniff) tidak pernah (mengeluarkan) bil, berbincang atau memaklumkan kepada defendan bahawa perkhidmatannya perlu dibayar.

“Pengebilan hanya dibuat selepas Langkah Sheraton (pada 2020),” kata hakim itu, merujuk kepada Bersatu yang berpaling tadah terhadap Pakatan Harapan (PH), sebelum kerajaan tumbang dan digantikan dengan pentadbiran pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Mahkamah juga mendapati tiada tindakan daripada defendan berhubung invois Haniff adalah wajar, kerana tiada persetujuan awal untuk pembayaran dibuat antara beliau dan Bersatu.

“Mengambil kira keadaan dan tingkah laku pihak-pihak, perkhidmatan yang diberikan adalah atas dasar sukarela,” kata Akhtar

Haniff diperintahkan membayar kos RM150,000 kepada Bersatu.

Peguam itu memfailkan samannya pada 2021, bertujuan mendapatkan semula yuran guaman RM12.5 juta daripada pihak terbabit untuk perkhidmatan yang diberikan.

Beliau mendakwa sebelum memfailkan saman itu, beliau telah mengeluarkan invois kepada parti untuk perkhidmatan yang diberikan tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.

Dalam pembelaannya, Bersatu mendakwa perkhidmatan Haniff diberikan secara ‘pro bono’ (tanpa caj) antara 2016 dan 2020.

Haniff kemudiannya memberitahu pemberita bahawa dia mungkin akan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.