Duit raya: NGO Felda minta kerajaan henti ‘main wayang’

Duit raya: NGO Felda minta kerajaan henti ‘main wayang’

Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa kerajaan menimbangkan semula keputusan tidak memberi duit raya kepada peneroka Felda.

Lebih 100,000 peneroka Felda di seluruh negara dijangka tidak diberikan bantuan raya oleh kerajaan PH tahun ini.
PETALING JAYA:
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan nasib golongan peneroka Felda mendesak kerajaan supaya berhenti “bermain wayang” dalam isu pemberian duit raya kepada kumpulan itu.

Presiden Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi), Roslan Md Esa membuat desakan itu susulan percangahan pendapat antara pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) berhubung pemberian duit raya kepada peneroka.

“Berhenti bersandiwara, kamu kerajaan tapi masih buli rakyat, peneroka sudah kecewa dengan pengumuman daripada menteri (tiada duit raya),” katanya kepada FMT.

Roslan mengulas kenyataan terbaru Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau tidak mengetahui status terkini bantuan khas sempena Hari Raya Aidilfitri kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara.

Minggu lepas, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan buat masa ini tidak berhasrat untuk memberikan bantuan kepada peneroka berikutan kedudukan semasa kewangan negara yang kurang memberangsangkan.

Menyusuli kenyataan Dr Mahathir dan Azmin, Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim merayu kerajaan supaya menimbangkan pemberian wang tunai kepada peneroka Felda bagi membantu meringankan beban kewangan golongan itu.

Roslan tidak menolak kemungkinan pemimpin PH kini berdepan krisis dalaman yang kritikal apabila keputusan yang dibuat saling tidak tidak diketahui perdana menteri dan juga menteri.

“Jika mereka membuat pusingan-U selepas ini dengan memberi duit raya kepada peneroka, sahlah PH berdepan masalah dalaman.

Katanya, kerajaan perlu mencari insentif lain bagi membantu peneroka jika isu pemberian duit raya tidak dapat diselesaikan menjelang Aidilfitri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.