Ringgit terus merosot berbanding dolar AS

Ringgit terus merosot berbanding dolar AS

Impak kelembapan pertumbuhan global terus memberi kesan kepada pasaran pesat membangun, termasuk Malaysia, yang merupakan ekonomi kecil dan sangat terbuka.

Dolar AS terus berperanan sebagai aset selamat dalam keadaan wujudnya pertikaian perdagangan, ketidakpastian berhubung Brexit dan kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi global.
KUALA LUMPUR:
Ringgit meneruskan penurunannya untuk dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini dengan pengukuhan berterusan mata wang AS itu di tengah-tengah peningkatan kebimbangan terhadap perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang dikhuatiri akan semakin memburuk, kata peniaga.

Pada 9 pagi, unit tempatan turun kepada 4.1930/1980 berbanding dolar AS daripada 4.1920/1960 pada paras penutup Rabu.

Seorang peniaga berkata, kebimbangan terhadap perang perdagangan mencetuskan jualan dalam pasaran sedang pesat membangun, manakala dalam pada masa yang sama, impak kelembapan pertumbuhan global terus memberi kesan kepada pasaran tersebut, termasuk Malaysia yang merupakan ekonomi kecil dan sangat terbuka.

“Dolar AS akan terus bertindak sebagai aset selamat terutamanya dalam keadaan pertikaian perdagangan, ketidakpastian berhubung Brexit dan kebimbangan terhadap pertumbuhan global,” kata peniaga itu.

Sementara itu, ringgit, diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8275/8331 daripada 3.8353/8400 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.2932/3000 daripada 5.2991/3050.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.6710/6770 daripada 4.6758/6819 tetapi susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0373/0420 daripada 3.0317/0357 pada Rabu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.