Khalid seru parti politik serah semula dewan orang ramai

Khalid seru parti politik serah semula dewan orang ramai

Sebanyak 203 daripada 331 dewan di Kuala Lumpur diurus parti politik, persatuan penduduk, NGO, agensi kerajaan dan badan pengurusan bersama penduduk.

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini menyeru kerjasama parti politik dan beberapa pihak lain menyerahkan semula dewan orang ramai kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), terutama parti-parti pembangkang.

Menteri Khalid Samad berkata sebanyak 203 daripada 331 dewan di Kuala Lumpur diurus parti politik politik, persatuan penduduk, badan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan badan pengurusan bersama penduduk.

“Perkara ini satu permasalahan yang sudah lama,” katanya pada sidang media di Menara Seri Wilayah hari ini.

“Terlalu ramai yang ‘berkuasa’ sebelum ini…macam jadi milik Umno. Macam jadi maklum balas politik, kamu sokong aku, aku bagi lah.”

Sehingga 30 Mei lalu, daripada 203 unit itu, seramai 157 pengurus dewan bersetuju untuk menyerahkan semula dewan kepada DBKL, manakala 46 unit pengurusan masih enggan berbuat demikian, katanya.

Khalid menjelaskan dewan-dewan orang ramai itu perlu diserahkan semula bagi kerja-kerja baik pulih, dan kemudian akan diserahkan kepada pihak lain yang bakal ditentukan kelak.

Beliau berkata DBKL mengeluarkan notis kepada pengurusan dewan-dewan terlibat pada 3 Disember, 22 Februari dan 3 April.

“Notis susulan juga akan turut dikeluarkan selanjutnya,” katanya.

Jika pengurus dewan enggan menyerahkan unit masing-masing kepada DBKL, kementerian akan menggunakan hak yang ada melalui peruntukkan undang-undang, kata Khalid.

“Kita akan dapatkan perintah mahkamah dan kita terpaksa ambil alih dewan-dewan ini,” jelasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.