Ahli Parlimen Thai digantung kerana miliki saham dalam syarikat media

Ahli Parlimen Thai digantung kerana miliki saham dalam syarikat media

Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand mendakwa Thanathorn Juangroongruangkit mempunyai 675,000 saham dalam V-Luck Media Company selepas mendaftar sebagai calon ahli Parlimen.

Thanathorn Juangroongruangkit berkata dia akan kekal sebagai calon perdana menteri bagi Future Forward Party. (Gambar Reuters)
BANGKOK:
Pemimpin Future Forward Party dari Thailand, Thanathorn Juangroongruangkit digantung sementara sebagai ahli Parlimen, iaitu sehari sebelum sesi Parlimen bermula.

Mahkamah Perlembagaan hari ini memutuskan 8-1 penggantungan sementara status ahli Parlimen terhadap Thanathorn.

Mahkamah juga memutuskan 9-0 untuk menerima kes itu yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand (EC) terhadap Thanathorn kerana memegang saham dalam sebuah syarikat media semasa pilihan raya umum pada 24 Mac.

Beliau berdepan penjara hingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut bila keputusan akan diumumkan.

Berikutan pengumuman itu, ahli politik yang semakin meningkat naik namanya itu akan terlepas menghadiri buat kali pertamanya sesi Parlimen yang baru, hari ini.

Raja Maha Vajiralongkorn dan Permaisuri Suthida dijadual merasmikan penggal pertama sesi Parlimen di Vithes Samosorn Hall, Bangkok.

Pada Jumaat, 250 Senator akan memilih speaker Dewan Negara dan Timbalan speaker manakala 500 ahli Dewan Perwakilan akan memilih speaker dan Timbalannya pada Sabtu.

Pada 6 April, Thanathorn didakwa atas hasutan berhubung perhimpunan anti-Junta pada 2015. Dia menghadapi 2 lagi pertuduhan membabitkan Artikel 189 kerana membantu yang lain melakukan jenayah serius dan Artikel 215 kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan haram.

EC mendakwa hartawan-bakal-ahli politik itu mempunyai 675,000 saham dalam V-Luck Media Company selepas mendaftar sebagai calon ahli Parlimen.

Bagaimanapun, dia menafi melanggari undang-undang pilihan raya dengan berkata dia menjual saham medianya pada 8 Jan, sebelum mendaftar sebagai calon untuk pilihan raya umum itu.

Pada satu persidangan akhbar, Thanathorn berkata, dia tidak bersetuju dengan perintah mahkamah semalam dan akan terus berjuang untuk keadilan.

Dia mempersoal sama ada ia satu tindakan politik memandangkan EC bertindak begitu pantas dalam mengemukakan petisyen terhadapnya sedangkan panel penyiasat masih menjalankan siasatan terhadap kes itu.

Thanathorn berkata, beliau kekal sebagai calon perdana menteri bagi Future Forward Party.

“Saya dan parti saya akan terus mencari rakan politik (dalam membentuk gabungan) untuk mengetengahkan Thanathorn sebagai perdana menteri. Thanathorn mempunyai hak sebagai MP,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.