
Michael Liman, yang mengasaskan Pusat Pendidikan Harapan (HLC) pada November 2007 berkata, pusat itu, yang memberikan pendidikan asas kepada kanak-kanak yang gagal mendaftar di sekolah biasa kerana masalah dokumentasi, diarahkan tutup pada akhir bulan lepas.
Beliau mendakwa pihak berkuasa pendidikan tidak mengeluarkan notis atau surat rasmi berhubung penutupan tersebut.
Bercakap kepada FMT, Liman berkata, beliau pergi ke pejabat pendidikan daerah pada Januari tahun ini bagi merundingkan tempoh penangguhan sehingga penghujung penggal persekolahan pada Mei ini.
“Bagaimanapun, pada 15 April apabila kami pergi ke pejabat pendidikan daerah untuk berunding tentang tarikh penutupan, kami diberikan notis akhir supaya menutup sekolah tersebut sebulan lebih awal.
Notis tersebut antara lain menyebut bahawa pusat berkenaan tidak berdaftar di bawah pejabat pendidikan daerah dan premis yang digunakan tidak memenuhi syarat jabatan.
“Kami meminta satu surat rasmi atau notis yang mengarahkan penutupan pusat tersebut tetapi tidak menerimanya. Pegawai di situ juga berkata bahawa mereka akan menutup semua pusat pendidikan alternatif (ALC) di daerah Penampang,” kata Liman.
Beliau berkata, seramai 260 pelajar berumur dari 5 ke 16 tahun menerima kesan berikutan penutupan pusat itu.

Kira-kira 70% pelajarnya berketurunan Filipina, 20% Indonesia dan 10% Malaysia.
Liman berkata, walaupun beliau boleh menerima arahan penutupan sekolah, namun nasib pelajar yang kini kehilangan akses pendidikan membimbangkan beliau.
“Kami tidak pernah meminta atau menerima satu sen bantuan daripada kerajaan untuk menjalankan pusat ini. Jika kerajaan tidak boleh menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak ini, maka gubal dasar bagi membolehkan ALC menawarkannya.
“Saya tidak menentang mana-mana dasar atau undang-undang kerajaan. Saya hanya mahukan keadilan untuk kanak-kanak yang terpinggir ini. Jika saya salah, beritahu kami cara yang betul untuk melakukannya,” kata beliau.
Beliau berkata, ibu bapa menyumbang wang bagi memastikan pusat itu terus dibuka, tetapi ia tidak cukup untuk membayar kos pengendaliannya.
Ketika dihubungi, pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Mistrine Radin berkata, pejabat pendidikan daerah mempunyai kuasa menutup pusat pendidikan tidak berdaftar selepas memberi notis yang mencukupi.
Katanya, beliau dimaklumkan oleh pejabat di Penampang bahawa pusat pendidikan yang dikendalikan oleh Liman tidak berdaftar dan mengutip yuran daripada ibu bapa pelajar.
“Majlis daerah juga tidak meluluskan premis mereka, selain ia tidak mendapat kelulusan daripada jabatan kesihatan serta jabatan bomba dan penyelamat.
“Pusat itu terletak di atas sebuah kedai di Donggongon, Penampang dan pelajarnya memakai seragam sekolah yang menyerupai seragam yang dipakai di sekolah awam,” katanya.
Beliau juga mengesahkan bahawa jabatan telah menasihati Liman mengenai perkara tersebut, termasuk tentang dasar kerajaan bahawa pusat sedemikian hanya dibenarkan di kawasan perladangan.
Mistrine bagaimanapun enggan memberitahu jumlah pusat sedemikian yang terdapat di Penampang dan bilangan yang diarahkan tutup.