
Penduduk Kim Teng Park kini berharap kerajaan negeri akan menghentikan rancangan untuk mengusir mereka – kali ke-2 mereka berdepan perkara sama selepas rancangan serupa dihentikan pada 2015 berikutan campur tangan ahli Parlimen Johor Bahru ketika itu, Shahril Samad.
Pada tahun itu, Pejabat Tanah mengeluarkan satu notis memberitahu penduduk, yang rata-ratanya telah berusia, bahawa keseluruhan Kim Teng Park akan diambil alih oleh sebuah syarikat yang dikenali sebagai City Centre Transformation (JB) Sdn Bhd.
Pada kali ini, Pejabat Tanah menyebut Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi mengeluarkan satu notis bahawa tanah terbabit boleh diambil alih oleh syarikat yang sama untuk tujuan pembangunan semula.
“Sekali lagi, tiada sebab diberikan dan tiada sesi dialog dengan penduduk diadakan, kata jurucakap persatuan penduduk Kim Teng Park, S Velasamy.
Penduduk melantik peguam kanan Derek Fernandez dan Ambiga Sreenevasan untuk mewakili mereka. Satu permohonan telah difailkan bagi membatalkan pengambilan tanah yang dirancang itu.
Velasamy berkata, penduduk mahu kerajaan negeri bersikap telus dan menjelaskan sebab bagi rancangan pengambilan tanah tersebut.
Katanya, mereka juga menghubungi ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Stulang, Andrew Chen bagi mendapatkan bantuan, selain menulis surat kepada semua Adun Pakatan Harapan (PH) di Johor, anggota Exco kerajaan, Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Banyak kami dengar tentang kejadian ‘rampasan tanah’. Kami tertekan kerana tidak tahu apakah yang sedang berlaku atau akan berlaku.
“Terdapat kira-kira 1,500 orang yang tinggal di sini dan kebanyakannya berusia lebih 60 tahun. Jika mereka hilang rumah, ke mana mereka hendak pergi? Pada umur sekarang, mereka tidak akan memperolehi pinjaman bank untuk membeli rumah baru”

Velasamy berkata, penduduk tidak mahu berpindah kerana Kim Teng Park selesa bagi mereka.
Hospital Sultan Aminah dan rumah ibadat pelbagai agama terletak dalam radius 5km dari taman itu.
Selain itu katanya, Kim Teng Parka adalah kawasan perumahan yang sah yang dibina pada 1959, bukannya kawasan setinggan.
Kejiranan itu bersempadan dengan tanah yang dicadangkan untuk pembinaan landasan RTS yang akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands di Singapura.
“Kami mahu pengambilan tanah itu diketepikan. Kami tidak mahu berpindah. Jika kerajaan mahu meneruskan pengambilan tanah ini, kami mahu kerajaan dan pihak terbabit berunding dengan kami dan berikan pampasan yang adil.”
Katanya, pampasan hendaklah didasarkan kepada nilai tanah tersebut mengikut harga pasaran.
“Sekarang ini adalah kawasan perumahan, tetapi jika mereka hendak ambil alih tanah untuk kegunaan komersial, maka kami mahu penilaian yang dibuat didasarkan kepada nilai komersial tanah.”
FMT berusaha mendapatkan komen City Centre Transformation (JB).
Sementara itu ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir berkata, kerajaan negeri perlu mendapatkan maklum balas daripada penduduk.
“Mereka berhak menyuarakan pandangan dan diberi pertimbangan.”
Pada waktu ini kata beliau, tidak ada pengesahan tentang sifat dan tujuan cadangan pembangunan semula itu.
“Saya sedang berusaha mendapatkan maklumat daripada agensi berkaitan dan mengadakan pertemuan dengan menteri besar tentang perkara ini.