
Leong, yang mengetuai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Untuk Melantik Jawatan-jawatan Utama Perkhidmatan Awam berkata, kekurangan penjelasan mengenai perkara tersebut mengakibatkan timbul persepsi bahawa pelajar tersebut digugurkan daripada program perkhidmatan awam kerana “kurang naungan dan kesetiaan politik”.
“Pekhidmatan awam mesti tidak berat sebelah dari segi politik. Malangnya, setengah pihak melihat pengguguran pelajar tersebut sebagai gambaran pertukaran pemimpin politik yang berlaku, yang menuntut kesetiaan politik yang sama.
“Ini adalah tuduhan serius atau persepsi salah yang perlu disangkal segera oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Pelajar itu digugurkan daripada program selepas didakwa gagal mencapai gred kelulusan, yang ditetapkan hanya 3 hari sebelum mereka diarah keluar.
Kumpulan pelajar itu sepatutnya menjadipegawai tadbir dan diplomat dengan paras gaji lebih tinggi selepas lulus.
Mereka merupakan sebahagian daripada 86 pelajar yang mengambil diploma pasca siswazah dalam bidang pentadbiran awam di Intan.
Empat daripada 52 yang digugurkan terdiri daripada kakitangan kontrak yang berhenti kerja untuk menyertai kursus di Intan. Hingga ke hari ini, mereka masih menganggur.
Leong mengecam Intan kerana “membesar-besarkan” keperluan lulus mata pelajaran sahsiah atau komponen personaliti untuk komitmen dan disiplin.

Beliau berkata, mereka dalam kumpulan itu terdiri daripada 5 pelajar PhD, 23 mengambil ijazah sarjana dan 24 ijazah sarjana muda.
Katanya, kebanyakan penuntut tersebut adalah pelajar cemerlang yang mendapat purata CGPA antara 3.75 hingga 3.95 mata.
Beliau mempersoalkan penilaian 50% yang diberi kepada komponen sahsiah, dengan mengatakan tidak terdapat gambaran bagaimana gred akan dikira.
“Tanpa perbincangan dengan pengajar, peserta tidak dapat menilai kemajuan dan pencapaian mereka dalam keperluan spesifik dan standard prestasi yang boleh diterima oleh pengajar,” katanya.
Katanya, 52 pelajar tersebut kini dimasukkan ke ‘peti sejuk” di jabatan masing-masing dan kenaikan pangkat mereka ditahan.
Leong juga mendakwa, seorang daripada penuntut itu diturunkan pangkat daripada timbalan pengarah kepada pegawai penyelidik, sementara seorang timbalan dekan mendapati jawatan mereka sebelum itu “tidak wujud” lagi.
Katanya, apa yang berlaku berbeza dengan jawapan Parlimen yang diterima daripada Jabatan Perdana Menteri pada 12 Mac, iaitu kekananan dan kenaikan pangkat mereka tidak akan terjejas.
“Sekumpulan 52 orang ini berhadapan dengan masa depan tidak menentu. Disebabkan konotasi ‘sahsiah gagal’ mereka dimasukkan ke ‘peti sejuk’ dan kenaikan pangkat mereka dibekukan,” katanya.
Beliau juga mengingatkan tentang kesan negatif reformasi dalam perkhidmatan awam, termasuk kemasukan berdasarkan merit dan bebas daripada campur tangan politik.
“Naungan politik tidak sepatutnya ada sama sekali.
“Kerajaan mesti tentukan bahawa pelantikan, kenaikan pangkat dan pertukaran dibuat berdasarkan merit, bukan naungan politik. Ini mesti bermula di pusat-pusat kelayakan dan latihan seperti Intan,” katanya.