
Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim yang merupakan exco Perancangan Strategik Kempen Vaksinasi Medical Mythbusters Malaysia (M3) berkata negara boleh mencontohi Autralia yang menghalang pelajar tidak mengambil vaksin ke sekolah.
“Ini boleh dijadikan batu asas untuk dilaksanakan di Malaysia. Ini perlu, disebabkan kalau kita lihat dari 2017 hingga 2019, kes yang tidak ambil vaksin semakin meningkat.
“Dan kes kematian akibat tidak mengambil vaksin juga meningkat,” katanya kepada FMT.
Pada 28 April lalu, Kementerian Kesihatan berkata pihaknya akan membentangkan cadangan mewajibkan ibu bapa memberi suntikan imunisasi kepada anak-anak kepada Jawatankuasa Pemandu Perancangan Kementerian Kesihatan untuk kelulusan, sebelum penelitian lanjut oleh Kabinet.
Menterinya, Dzulkefly Ahmad berkata pandangan pelbagai pihak turut diperolehi, termasuk agensi kerajaan, swasta, NGO serta persatuan yang berkaitan dalam meneliti isu dan perkara yang perlu dimasukkan dalam kertas cadangan kebolehlaksanaan tindakan untuk mewajibkan suntikan imunisasi itu.
Megat Mohamad Amirul menambah, vaksin memang perlu diwajibkan kerana semakin ramai golongan menolak vaksin di media sosial.
Penolakan itu, katanya, bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah negara maju seperti Amerika Syarikat juga menolak vaksin.
“Golongan anti vaksin ini kebanyakan bergerak secara bersendirian,” katanya yang memperjuangkan supaya vaksin diwajibkan sejak 2010.