Mustafa Akyol kongsi buku yang diharamkan secara percuma, dalam talian

Mustafa Akyol kongsi buku yang diharamkan secara percuma, dalam talian

Ahli akademi warga Turki itu berkata edisi bahasa Melayu yang boleh dimuat turun secara percuma itu membolehkan rakyat membuat penilaian sendiri.

PETALING JAYA: Ahli akademi warga Turki, Mustafa Akyol menerbitkan terjemahan bahasa Melayu bukunya tentang Islam yang diharamkan di Malaysia sejak 2017 secara dalam talian.

Bulan lepas, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan pentadbiran dulu mengharamkan 3 buku, termasuk “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan”, versi bahasa Melayu bukunya yang bertajuk “Islam Without Extremes”.

Mahkamah berkata ia berpuas hati dengan alasan menteri dalam negeri ketika itu mengenakan pengharaman itu. Hakim Nordin Hassan berkata kandungan buku itu mungkin akan “memudaratkan ketenteraman dan kepentingan awam dan mungkin akan menggemparkan pemikiran orang ramai.”

Akyol menyifatkan keputusan itu sebagai autoritarianisme yang tidak masuk akal.

“Idea yang paling mengejutkan dalam buku saya yang boleh ‘menggemparkan pemikiran orang ramai’ adalah Islam tidak boleh dipaksa,” katanya dalam satu tulisan di laman Institut Cato, sebuah badan penyelidikan dasar awam yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Bukan beliau atau pihak berkuasa Malaysia yang ada kata muktamad mengenai perkara itu, kata Akyol. “Ia mestilah terserah kepada orang Melayu Islam yang berminat dengan topik itu dan berhak membuat penilaian sendiri,” katanya.

Beliau mendapat kebenaran penerbit buku itu, Islamic Renaissance Front (IRF) untuk berkongsi buku itu secara dalam talian.

Akyol, seorang pejuang kebebasan bersuara di negara-negara Islam, sering dikritik oleh golongan Islamis dan sekularis di negara asalnya.

Kunjungannya ke Malaysia tahun lepas mengundang bantahan daripada kumpulan konservatif Islam dan pihak berkuasa agama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.