
Beliau berkata, tanggapan kononnya polis akan menjadi sasaran selepas penubuhan suruhanjaya itu adalah tidak benar.
“Masih ada perkara yang belum lagi diperjelas, terutama mereka (polis) andaikan bahawa dengan adanya IPCMC polis akan jadi sasaran.
“…(Kononnya) polis lakukan banyak kesalahan, maka dengan tertubuh IPCMC, seolah-olah ‘to punish’ them… itu tidak betul,” katanya dalam wawancara bersama media sempena ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkaitan kementeriannya, di sini.
Muhyiddin berkata, beliau meminta kerjasama ketua pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Abu Kassim Mohamed untuk mengadakan sesi penerangan khusus dengan polis.
“(Melalui sesi itu) polis boleh jelaskan isu berbangkit yang mungkin mereka tidak puas hati dan perkara itu akan dibawa ke (pengetahuan) jemaah menteri.
“Mungkin soal menggubal undang-undang berkaitan perlu kita lakukan selepas itu,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, polis akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bagi mengemukakan bantahan berhubung beberapa perkara membabitkan penubuhan IPCMC.
Mohamad Fuzi, yang bersara hari ini, berkata antara perkara yang diusulkan berhubung penubuhan IPCMC, terutamanya menarik kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di bawah Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, mendapat bantahan banyak pihak dalam pasukan polis.
Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan mengatakan SPP yang dianggotai menteri dalam negeri akan bertanggungjawab atas pelantikan, promosi dan semua isu mengenai tatatertib pegawai polis.