Seru buka kedutaan di Israel, gerakan global bidas senator DAP

Seru buka kedutaan di Israel, gerakan global bidas senator DAP

BDS Malaysia berkata ucapan Nga Hock Cheh di Dewan Negara merugikan orang Palestin beragama Kristian yang seagama dengannya.

Senator Nga Hock Cheh berkata sektor pertanian Malaysia akan menerima manfaat jika ada hubungan dengan Israel. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kempen boikot global terhadap Israel di Malaysia mengecam seorang senator DAP kerana menggesa Putrajaya menjalin hubungan diplomatik dengan negara Yahudi itu, mengatakan penjelasannya berbaur propaganda Zionis.

Boycott, Divestment & Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) berkata Nga Hock Cheh bukan sahaja menunjukkan “kebendulannya” tentang konflik di Palestin, tetapi juga tidak bertepatan dengan agama Kristian anutannya apabila dia tidak mengendahkan orang-orang Kristian yang juga mangsa keganasan Zionis.

“Orang Palestin beragama Kristian dinafikan hak asasi manusia seperti saudara-saudara Islam mereka. Pokok pangkalnya, anda tidak perlu jadi Islam, Kristian, Buddha atau Hindu untuk menentang apa yang dilakuan Israel terhadap orang Palestin.

“Anda hanya perlu jadi manusia,” kata BDS dalam kenyataan terhadap kata-kata Nga di Dewan Negara baru-baru ini.

Nga, seorang pemimpin DAP dari Perak menyuarakan sokongan kepdaa cadangan Presiden PKR, Anwar Ibrahim kepada kerajaan supaya membuka kedutaan di Palestin.

Nga bagaimanapun berkata Malaysia patut maju selangkah lagi dengan membuka kedutaan di Israel dan meraih manfaat ekonomi daripada hubungan baru itu.

Beliau berkata walaupun Israel negara kecil tetapi memiliki teknologi yang sangat maju dalam pelbagai bidang, terutama pertanian.

Menurutnya, Thailand meraih banyak manfaat daripada kepakaran dan kewujudan Israel, katanya kepada Dewan Negara pada 24 April.

Jadi, katanya, Malaysia boleh mengimport kepakaran untuk pertanian negara bagi membantu meningkatkan taraf hidup warga desa.

Nga juga memuji Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang pemimpin yang berpengaruh di pentas dunia, mengatakan perdana menteri itu boleh menjadi orang tengah dalam mengusahakan perdamaian antara Palestin dan Israel.

Menurut kitab-kitab, katanya, para pendamai diberi rahmat, dan dia gagal menjalankan tugasnya sebagai seorang senator beragama Kristian jika dia tidak mengingatkan Dewan Negara mengenai perkara itu.

BDS mengkritik NGA kerana menyebut tentang kemajuan Israel dalam bidang pertanian.

“Dia patut sedar sebarang kemajuan itu tercapai atas sebab tanah dan air orang Palestin dicuri orang Israel. Sudah tentu, kenyataannya yang nampak seperti diserah propaganda Zionis tidak akan sebut perkara itu,” katanya.

Ia juga berkata mengingatkan seruan Nga kepada kerajaan supaya memansuhkan dasar-dasar berasaskan kaum bercanggah dengan seruan menjalin hubungan dengan Israel.

“Dia patut tahu Israel tanpa malu sebuah negara Apartheid dalam dasar-dasarnya terhadap orang Palestin dalam dan luar sempadannya.

“Afrika Selatan, sebuah negara yang dilanda Apartheid sehingga 1994, sangat malu akan hubungannya dengan Israel bertindak merendahkan taraf hubungan diplomasinya dengan negara itu,” katanya.

Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan Israel, dan Malaysia terkenal dengan kecamannya terhadap dasar-dasar Israel di persidangan antarabangsa.

BDS berkata Nga hanya memalukan parti sendiri apabila membuat seruan itu.

“Kejahiliannya dari pelbagai sudut hanya memalukan parti sendiri yang merasakan dia sesuai menjadi wakil rakyat di Dewan Negara,” katanya.

“Meskipun begitu, kami menghulur tangan kepada Senator Nga untuk bersama usaha kami menghasilkan keadaan yang akan membawa kepada sebuah Palestin merdeka di mana orang Arab dan Yahudi, dan penganut agama Yahudi, Kristian dan Islam boleh hidup bersama secara aman dan bermaruah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.