
Katanya, guru patut fokus pada kebenaran, bukannya terpengaruh dengan tafsiran subjektif.
Beliau berkata, apabila kanak-kanak semuda lapan tahun turut terlibat dalam protes berhubung konflik itu, penting untuk mempertimbangkan sama ada mereka dapat memahami isu kompleks.
Chandra berkata demikian susulan kontroversi berhubung penggunaan pistol mainan oleh murid pada Minggu Solidariti Palestin di sekolah.
Kementerian Pendidikan (KPM) kemudian mengeluarkan garis panduan yang antara lain mengingatkan pihak sekolah agar mengelak perspektif satu pihak.
Bagaimanapun, seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Afnan Hamimi Taib Azamudden meminta kejelasan tentang apa maksud “penjelasan seimbang”. Katanya, matlamat minggu solidariti adalah untuk menunjukkan sokongan kepada Palestin, “bukan kedua-dua pihak”.
Chandra berkata, konflik Israel-Palestin tidak patut dilihat secara eksklusif dari sudut agama, memetik perbezaan antara zionisme dan agama Yahudi sebagai contoh.
“Zionisme ialah pergerakan ideologi, berbeza daripada agama Yahudi yang menjadi pegangan orang Yahudi. Agama Yahudi bersifat inklusif dan tidak menyokong diskriminasi kaum, Zionisme menganjurkan sebaliknya.
“Penting untuk menjelaskan perbezaan ini kerana ramai mungkin tidak memahaminya dengan betul,” katanya sambil menekankan pentingnya memupuk pemikiran kritikal dalam kalangan kanak-kanak.
Katanya, pendidikan menjadi kunci dan penting untuk mengajar kanak-kanak bahawa perbuatan membawa pistol atau memijak bendera Israel adalah tindakan tidak wajar.
Beliau memetik buku “A History of Jerusalem, One City, Three Faiths” nukilan Karen Armstrong sebagai rujukan yang bagus untuk memahami sejarah di sebalik konflik berkenaan.
“Buku ini mengetengahkan bagaimana sepanjang sejarahnya, Palestin dihuni masyarakat pelbagai agama dan bangsa, bukannya milik satu kumpulan semata-mata.”
Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung mempertahankan garis panduan kementerian itu dan menyokong kanak-kanak Malaysia diberi “perspektif seimbang” berhubung isu itu
“Kita tidak boleh menyokong simbol keganasan seperti pistol dan mengharapkan hasil aman. Sasaran utama adalah untuk mereka merasai keamanan dan hidup bermaruah,” kata pengarah komunikasi PKR itu.