Lantik exco digugurkan jadi ketua PPBM Johor tanda Dr M berkuasa

Lantik exco digugurkan jadi ketua PPBM Johor tanda Dr M berkuasa

Langkah itu dilihat luar biasa kerana kebiasaannya menteri besar juga adalah ketua parti negeri, kata penganalisis politik.

Mazlan Bujang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pelantikan seorang Adun yang digugurkan daripada jemaah exco Johor baru adalah cara Dr Mahathir Mohamad menunjukkan dia masih berkuasa, kata seorang penganalisis politik.

Mazlan Bujang, yang digugurkan dari jawatan exco Johor, dilantik sebagai ketua PPBM negeri baru, menggantikan Osman Sapian yang meletak jawatan menteri besar bulan lepas.

Langkah itu dilihat luar biasa kerana kebiasaannya menteri besar juga adalah ketua parti negeri.

“Ia juga menghantar mesej bahawa Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal tidak secara automatik memegang semua kuasa di negeri itu, walaupun dia diterima istana,” kata Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia.

Tetapi, Kamarul berkata pelantikan seseorang yang tidak memegang jawatan menteri besar sebagai ketua parti negeri akan memastikan semak dan imbang dalam pentadbiran negeri.

Seorang pegawai tinggi PPBM mengajukan semak dan imbang juga akan meliputi campur tangan istana dalam pentadbiran dan perkara berkaitan dasar.

Kamarul berkata pelantikan Mazlan itu penting kerana ia menghantar mesej kepada akar umbi PPBM menuju pemilihan parti tahun ini.

“Ini mungkin cubaan oleh kepimpinan tertinggi untuk persiapan PPBM menghadapi pertembungan lebih serius dengan istana di masa depan,” katanya.

Beliau merujuk pertelagahan antara Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Mahathir baru-baru ini.

“Akhirnya, ini cara Mahathir memberitahu semua orang berkenaan bahawa dia benar-benar serius dan jangan cari pasal dengannya.”

Dilaporkan Mahathir tersinggung dengan keputusan menteri besar Johor merombak jemaah exco, mengatakan ia bertentangan dengan keputusan parti mengekalkan barisan exco yang baru berusia 11 bulan itu.

Rombakan itu dilihat sebagai tunduk kepada tuntutan Istana Johor, yang bertegas ia mempunyai hak dalam barisan exco negeri.

Majlis pimpinan tertinggi PPBM, dalam satu mesyuarat pada hari yang sama mereka mengangkat sumpah, menyaksikan pimpinan parti bersolidariti dengan Mahathir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.