Jangan campur pertelagahan Dr M-TMJ, pesan Zuraida pada PH

Jangan campur pertelagahan Dr M-TMJ, pesan Zuraida pada PH

Pemimpin Pakatan Harapan lain tidak perlu campur tangan kerana ia boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Zuraida Kamaruddin.
SEPANG:
Seorang menteri hari ini menggesa pemimpin Pakatan Harapan jangan mencampuri pertelagahan antara Istana Johor dan Dr Mahathir Mohamad, ketika beberapa pemimpin PPBM ke depan untuk mempertahankan perdana menteri.

“Biar Tun yang uruskan sultan. Apabila tiba giliran kami, kita akan uruskan sultan,” kata Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.

Beliau ditanya tentang ketiadaan kenyataan mempertahankan Mahathir daripada PKR dan DAP dalam pertelagahan itu.

Semalam, Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim mengenai kenyataan tukar perdana menteri.

“Persoalan saya kepada TMJ, kenapa dulu bila satu dunia kenali Malaysia sebagai kleptokrasi, TMJ tidak suruh ‘tukar Najib’ tetapi sekarang suruh perdana menteri yang diberikan mandat oleh rakyat untuk ‘ditukar’?” katanya di Instagram.

Menteri belia dan sukan itu menjawab video memaparkan TMJ minggu lepas menjawab seorang penyokong bola sepak, mengatakan lebih baik menukar perdana menteri daripada menukar jurulatih pasukan bolasepak JDT.

Zuraida menggambarkan pertelagahan antara TMJ dan Dr Mahathir seperti berada “pada tahap yang berbeza”.

Beliau percaya ia hanya akan mengeruhkan lagi keadaan jika semua pihak mencampuri pertelagahan itu.

“Biar mereka yang selesaikannya,” katanya.

Hubungan antara Istana Johor dan Mahathir kelihatan tidak baik baru-baru ini menyusuli perletakan jawatan Osman Sapian sebagai menteri besar.

Spekulasi mengatakan Mahathir juga tidak berpuas hati dengan rombakan jemaah exco Johor bawah menteri besar baru, Dr Sahruddin Jamal, yang dikatakan tidak pernah mendapat kelulusan pimpinan PPBM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.