
Jalan pintas Air Itam-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sepanjang 5.7km itu sebahagian daripada projek terowong dasar laut Pulau Pinang dan 3 jalan bernilai RM6.3 bilion, dan akan dibina pada 31 Ogos.
Projek itu akan dijalankan oleh Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC).
Seorang penduduk Island Glades, Tan Wei Loon berkata, nampaknya hanya dia dan segelintir orang sedar jalan pintas itu akan dibina di situ.
Tan sedar tentang perkara itu apabila dia timbulkan isu dengan jiran-jirannya.
Beliau berkata ramai penduduk bingung kerana mereka tidak diberi peluang untuk membantah projek itu. Dia mendakwa sekurang-kurangnya 1,000 orang menetap di kawasan berdekatan jajaran tidak menyedari jalan baru itu.
“Seluruh Green Lane ada ratus ribu penduduk, dan majoriti tidak sedar tentang keseriusan atau bagaimana jalan itu akan memberi kesan pada mereka.
“Pertemuan dengan penduduk terkesan, atau pensampelan kesan sosial, bawah 0.01%,” katanya ketika dihubungi.
Tan mendakwa hanya 5 orang menghadiri sesi pertemuan itu dengan pembina pada 2014. Beliau tertanya mengapa lebih ramai orang tidak diberitahu mengenai sesi itu.
Mereka tidak membantah pembangunan, tetapi kebimbangan mereka adalah bagaimana ia akan dibina, katanya.
Berdasarkan laluan pembina, katanya, jalan itu akan mengelilingi bukit-bukit di mana terletak beberapa kompleks pangsapuri.
Tan berkata selain memotong bukit, jejambat itu juga akan melalui atas rumah-rumah teres.
“Kita pernah nampak batu berguling dari bukit semasa cuaca buruk. Dengan jalan baru ini, saya takut nak bayangkan apa yang boleh berlaku,” katanya, yang sudah 11 tahun duduk di situ.
Laporan berita sebelum ini menunjukkan jalan itu akan melalui kawasan kejiranan Green Lane dari Air Itam.
Ia akan melalui beberapa pangsapuri di situ: Kingfisher, Jay Series, Greenlane Heights, Greenlane Park, Delima Palace dan Krystal Heights.
Ia juga akan melalui bangunan bertanah di Changkat Delima 3.
Turut dilaporkan jalan itu akan sedekat 30m dan sejauh 100m.
Penghadang bunyi setinggi 6m akan didirikan di sepanjang kawasan berdekatan bangunan tinggi.
CZC berkata sebanyak 20,497 paku tanah dan 570 longkang akan ditempatkan sepanjang kawasan bukit untuk mengukuhkan kestabilan.
Projek diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar pada 2017, dengan 59 syarat.
Penasihat Citizen Awareness Chant Group, Yan Lee menyeru syarat-syarat didedahkan demi ketelusan.
FMT sudah menghubungi CZC dan sedang menunggu komen mereka.