
Acara pecah tanah bagi jalan pintas itu diadakan pada Okt 2019, tetapi tiada tanda-tanda projek itu akan dimulakan, walaupun kon lalu lintas diletakkan di kawasan pembinaan terbabit sejak mula.
Anggota exco negeri, Zairil Khir Johari berkata, kerja-kerja awal sudah bermula sejak itu.
Beliau berkata, dokumen yang perlu ditandatangani akan ditandatangani pada 15 Jan dan kerja akan dimulakan secara rasmi pada 1 Febr.
“Kerajaan negeri komited untuk memastikan projek itu disiapkan,” katanya.
Jalan pintas sejauh 5.7km itu bermula dari Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di pesisir timur pulau itu.
70% daripadanya merupakan jalan raya bertingkat.
Kerja-kerja akan bermula dari Air Itam berhampiran Lebuhraya Thean Teik, sebelum berakhir di lebuh raya dalam tempoh tiga tahun.
China Railway Construction Corporation Ltd kekal sebagai kontraktor pemerolehan kejuruteraan.
Menurut dokumen Dewan Undangan Negeri (DUN), RM5.49 bilion akan dibelanjakan untuk pembinaan sahaja, dengan kajian kemungkinan dan kos reka bentuk terperinci berjumlah RM305 juta, dan kos pengambilan tanah sebanyak RM546 juta.
Kos kajian kemungkinan dibayar melalui pertukaran tanah melibatkan 3.7 ekar tanah yang ditambak di Seri Tanjung Pinang (berhampiran Straits Quay).
Kos terowong dan tiga jalan raya akan dibayar melalui hak ke atas tanah seluas 110 ekar di Gurney Wharf.
Tiga projek jalan tersebut ialah jalan pintas Air Itam (5.7km); Tanjung Bungah ke Teluk Bahang (10.53km); dan Jalan Pangkor-Gurney Drive simpang ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (4.1km).
Zairil berkata, pihaknya menyedari bahawa penstrukturan semula dijalankan kontraktor utama projek tersebut, Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC).
Katanya, kerajaan negeri menyedari beberapa pihak bersaing untuk mengambil alih CZC melalui pembelian saham, tetapi enggan memberi komen lanjut sehingga syarikat itu memaklumkannya kepada pegawai kerajaan negeri.
Zairil juga mengesahkan salah satu pihak yang berminat adalah syarikat pemaju yang berpangkalan di Kedah seperti dilaporkan FMT sebelum ini.
Terdahulu, sumber memberitahu FMT bahawa kerajaan Pulau Pinang bersetuju dengan pengambilalihan CZC oleh syarikat Kedah tersebut, yang dilihat sebagai penyelamat daripada krisis keyakinan yang disebabkan oleh pelbagai siasatan rasuah sejak beberapa tahun.