Pengarah kilang didakwa bersubahat buang sisa kimia ke Sungai Kim Kim

Pengarah kilang didakwa bersubahat buang sisa kimia ke Sungai Kim Kim

Hakim membenarkan warga Singapura itu diikat jamin RM250,000 bersama 2 penjamin warga tempatan dan memerintahkannya melapor diri di Balai Polis Pasir Gudang setiap 15 hari bulan sehingga kes selesai.

Sim Wei Der dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan bersubahat melupuskan buangan terjadual ke Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, awal Mac lalu. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Seorang pengarah bukan eksekutif sebuah kilang pemprosesan tayar terpakai didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan bersubahat dengan 3 lagi individu untuk melupuskan buangan terjadual ke Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, awal bulan lalu.

Tertuduh, Sim Wei Der, 50, yang merupakan warga Singapura dan menjadi pengarah syarikat itu sejak 2017, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di depan Hakim Jailani Rahman.

Mengikut kertas pertuduhan, Sim didakwa bersubahat dengan N Maridass, 35, Yap Yoke Liang, 42, dan Wang Jing Chao, 34, untuk melupuskan buangan minyak atau enap cemar berminyak yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 ke Sungai Kim Kim dengan menggunakan Mitsubishi dan semi treler tangki minyak sawit, tanpa mendapat kelulusan bertulis daripada ketua pengarah Jabatan Alam Sekitar.

Perbuatan itu dilakukan antara 12.01 tengah malam dan 1 pagi 7 Mac lalu, berhampiran kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim, Jalan Kota Masai 1, Pasir Gudang.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dibaca bersama Seksyen 42 akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34(B)(4) akta sama, iaitu dipenjara tidak lebih 5 tahun dan didenda tidak melebihi RM500,000.

Terdahulu, Pengarah Pendakwa Johor, Amir Nasruddin memohon mahkamah tidak membenarkan Sim diikat jamin kerana mengambil kira perbuatannya yang serius sehingga memberi kesan kepada ramai penduduk yang terdedah kepada pencemaran itu.

Bagaimanapun, peguam, Joshua Tay yang mewakili tertuduh, membantah permohonan itu kerana tertuduh harus mendapat jaminan seperti yang diberikan kepada Wang (juga warga Singapura) yang turut menghadapi pertuduhan sama, sebelum ini.

Mahkamah kemudian menetapkan Sim diikat jamin sebanyak RM250,000 bersama 2 penjamin warga tempatan, selain mengenakan syarat tambahan, iaitu perlu melaporkan diri ke Balai Polis Pasir Gudang setiap 15 hari bulan sehingga kes itu selesai.

Kes disebut semula pada 23 Mei ini.

Semalam, polis menahan Sim selepas dia menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam pada 11.17 pagi.

Sebelum itu, dia diburu dan diletakkan dalam senarai orang dikehendaki bagi membantu siasatan kes melupuskan sisa kimia ke Sungai Kim Kim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.