GIACC kerjasama dengan negeri hapus rasuah

GIACC kerjasama dengan negeri hapus rasuah

GIACC telah mengadakan sesi interaksi dengan 6 kerajaan negeri yang melibatkan proses memberi nasihat dan dialog.

Ketua Pengarah GIACC, Abu Kassim Mohamed.
KUALA LUMPUR:
Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) sedang menjalin usahasama dengan kerajaan negeri berhubung pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) di peringkat negeri.

Ketua Pengarahnya, Abu Kassim Mohamed berkata, sesi dialog dan perbincangan sedang diadakan dengan pihak setiausaha kerajaan negeri (SUK) bagi membantu mereka membentuk satu pelan dengan mengadaptasi NACP.

“Proses (dialog) ini akan mengambil masa. Setakat ini, GIACC telah mengadakan sesi interaksi dengan 6 kerajaan negeri yang melibatkan proses memberi nasihat dan dialog.

“Sekiranya proses ini berjaya, negeri akan mempunyai pelan anti rasuahnya tersendiri di peringkat negeri masing-masing,” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Politikonomi bertajuk ‘Malaysia Bersih Rasuah’ terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam tadi.

Abu Kassim berkata, antara perkara utama yang dibincangkan adalah perkara (bahagian) dalam NACP yang boleh dilaksana di peringkat negeri, sebagai contohnya isu melibatkan pihak berkuasa tempatan.

“Secara amnya, rakyat mahukan perubahan jelas, mahu proses mendapatkan perkhidmatan dengan cekap dan berkesan tanpa melibatkan rasuah dan pembayaran habuan,” katanya yang juga bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam pada itu, beliau turut menekankan aspek pemantauan yang merupakan elemen penting melibatkan usaha terbabit.

NACP 2019-2023 dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pada 29 Jan lepas yang dilaksanakan berdasarkan 22 strategi yang akan diberi keutamaan bagi 6 sektor utama.

Ia mengandungi 115 inisiatif anti rasuah melibatkan 6 sektor iaitu politik; perolehan awam; penguatkuasaan undang-undang; pentadbiran sektor awam; perundangan dan kehakiman; serta tadbir urus korporat.

NACP dibangunkan oleh GIACC dengan kerjasama agensi kerajaan lain bagi menggantikan Pelan Integriti Nasional (PIN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.