Ahli politik veteran dijangka lawan pilihan DAP di Sandakan

Ahli politik veteran dijangka lawan pilihan DAP di Sandakan

Sepanjang 12 pilihan raya umum, Parlimen Sandakan kerap bertukar tangan antara BN, DAP dan PBS.

KOTA KINABALU: Sejak Parti Bersatu Sabah (PBS) mengumumkan hasrat bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Sandakan 11 Mei ini, timbul persoalan mengenai siapakah yang akan dicalonkan parti tempatan tertua itu.

Pilihan DAP, iaitu Vivian Wong, 30, anak perempuan mendiang wakil rakyat Sandakan, Stephen Wong tidak mengejutkan pemerhati, tetapi kepimpinan PBS perlu pertimbangkan beberapa nama, termasuk seorang jurutera dan seorang peguam.

Namun, ketika hari penamaan (27 April) semakin dekat, semakin jelas parti itu akan memilih Naib Presiden Linda Tsen, bekas ahli Parlimen Batu Sapi untuk Sandakan.

Seorang ahli majlis tertinggi PBS, yang tidak mahu dinamakan berkata, parti itu mungkin meletakkan Tsen sebagai calonnya selepas mempertimbangkan kemahuan akar umbi parti itu di Sandakan.

“Sebenarnya, Tsen agak keberatan kerana dia percaya parti patut kali ini namakan seorang calon baru dan muda.

Linda Tsen.

“Tetapi calon-calon berpotensi yang lain belum bersedia kerana mereka khuatir akan akibatnya. Mereka ada perniagaan masing-masing dan bimbang kalau menang, perniagaan mereka akan terkesan,” katanya.

Parti itu percaya Tsen calon terbaik kerana dia sebenarnya berasal dari Sandakan, dikenali orang tempatan, dan paling penting, disukai akar umbi.

PBS dijangka menamakan calonnya esok di Sandakan.

Sumber juga mendedahkan parti tempatan lain, termasuk Parti Progresif Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) dan Solidariti Tanah Airku (STAR), serta parti-parti nasional lain seperti Umno, sedia membantu PBS berdepan pilihan raya kecil ini.

Pertandingan kali ini menarik kerana warga Sandakan tidak pernah dianggap sebagai penyokong tegar DAP atau pengundi BN.

Antara 1971 dan 2018, sepanjang 12 pilihan raya umum, kerusi itu kerap bertukar tangan antara BN, DAP dan PBS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.